KUALA LUMPUR – Pertubuhan Penggerak Komuniti Nasional (PKN) Wangsa Maju membidas tindakan Datuk Seri Sanjeevan Ramakrishnan kerana membuat kecaman secara terbuka terhadap Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. Edmund Santhara Kumar.
Pengerusinya, Abdul Ghani Abdullah mengingatkan Koodinator Pemuda Negara Negeri Sembilan itu agar tidak menjadi duri dalam daging, malah menyifatkan tindakannya itu sebagai anai-anai memakan tiang rumah.
“Apa niat sebenarnya Sanjeevan ini? Kenapa dia tak mahu buat saranan, kritikan dan nasihat secara bersemuka dengan peringkat tertinggi?
“Isu sebenarnya sudah reda, tapi dia simbah minyak lagi untuk bakar terus! Dia nak terkenal politikkah? Untuk makluman, dia terkenal dan popular dengan pelbagai isu negatif.
“Isu peras ugut…isu khalwat…isu jenayah…sudah ada kes yang melibatkan hukuman penjara dan jumlah denda yang tidak melayakkan dia memegang jawatan dalam mana-mana pertubuhan berdaftar dengan ROS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Sanjeevan menuntut Santhara Kumar yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan meletakkan jawatan kerana didakwa bercuti ke New Zealand ketika rakyat sedang menghadapi pandemik Covid-19.
Menurut Sanjeevan, tindakan Santhara Kumar telah mencemarkan nama baik Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Selain itu, Sanjeevan turut menuntut Santhara Kumar memberi penjelasan tentang dakwaan beliau memiliki kerakyatan New Zealand yang dibangkitkan ahli-ahli Parlimen negara terbabit.
Dalam pada itu, Abdul Ghani mengingatkan Sanjeevan menggunakan saluran yang betul untuk membuat teguran dan kritikan terhadap jemaah Menteri Kerajaan PN
“Mentang-mentang ada jawatan Ketua Pemuda Negara Negeri Sembilan, itu bukan lesen untuk membidas pimpinan secara terbuka.
“Pihak lawan sudah nampak ia sebagai wujud ketidaksepakatan politik dalaman. Ini akan menjadi modal penyambungan daripada isu yang mereka cuba letupkan tentang Datuk Seri Dr. Edmund Santhara Kumar,” katanya.
Abdul Ghani juga tidak menolak kemungkinan Sanjeevan mempunyai niat politik jahat dengan membuat bidasan terbuka terhadap Santhara Kumar.
“Kenapa dia tidak membuat bidasan semasa awal isu itu dimainkan oleh pembangkang? Mengapa selepas Datuk Seri Dr. Edmund Santhara Kumar pulang ke Malaysia, dia pantas membuat bidasan terbuka?
“Cara kamu ini sengaja menimbulkan kekeliruan dan membangkitkan kebencian pengundi-pengundi khususnya orang India terhadap PN. Itu bukan langkah bijak dan PN jangan ikut langkah PH dan politik kotor Anwar Ibrahim,” katanya lagi. – MalaysiaGazette