Gambar hiasan
PENGUMUMAN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini mengenai satu tempoh pelaksanaan bagi menurunkan had umur pengundian ke usia 18 tahun serta pendaftaran pemilihan secara automatik mendapat perhatian serius.
Mengikut jadual yang digariskan oleh SPR, Undi 18 hanya akan dilancar pada bulan September 2022 bermaksud Pilihan Raya Umum seterusnya berkemungkinan besar telahpun diadakan.
Walau bagaimanapun, Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 Akta Undi 18 telahpun dicadang oleh Mantan Menteri Belia & Sukan YB Syed Saddiq dan telah mendapat kelulusan majoriti di dalam dewan rakyat pada 16 Julai 2019.
Pada 10 September 2019, Rang undang-undang Undi 18 ini telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Mengamati pengumuman Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh, kami amat kecewa dengan alasan kononnya SPR tidak mempunyai sumber yang mencukupi untuk melaksanakan Undi 18 pada waktu yang dijadualkan juga adalah tidak berasas.
SPR seharusnya menggunakan kesempatan ini untuk meningkatkan kecekapan & ketangkasan SPR dengan sokongan yang kuat daripada pelbagai pihak supaya usul yang telah diluluskan oleh Parlimen dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Wabak Covid-19 tidak boleh dijadikan lagi alasan untuk menyekat pelaksanaan Undi 18. Hak perlembagaan anak muda untuk  mengundi serta RUU 18 yang telah diluluskan oleh dewan rakyat tidak boleh dikalahkan oleh kerenah birokrasi yang dipamerkan oleh SPR.
Zaman milenia yang penuh cabaran serta dugaan ini telah tiba masanya anak muda  menjadi sebahagian penentu masa depan negara tercinta ini. Soal kematangan bukannya terletak pada umur tetapi ini diukur oleh pemikiran yang bernas.
Memang masih ada lagi anak muda yang tidak endah dengan isu semasa dan kewarganegaraan, inilah antara cabaran untuk kita sama-sama pikat anak muda untuk cakna dengan isu  semasa kenegaraan.
Ramai anak muda Malaysia telah berjaya dengan pelbagai bidan dan latar belakang di dalam negeri mahupun dipersada antara bangsa tidak perlu disebut-sebut lagi, semua info dihujung jari kita.
Anak muda Malaysia harus diberi hak dan kuasa dengan memberi kuasa pengundian pemilihan bagi membentuk negara yang professional dan harmoni dengan mengamalkan sistem demokrasi yang ditetapkan oleh perlembagaan.
Secara logiknya, mengikut Seksyen 2 Akta Undi 18 membenarkan seorang lelaki berusia 18 tahun untuk bertanding menjadi Ahli Parlimen.
Penafian hak pemuda 18 tahun untuk mengundi sedangkan mereka berhak untuk bertanding adalah tidak rasional dan bercanggah.
Kerajaan Malaysia harus menghormati peranannya sebagai empunya kuasa Eksekutif dan merealisasikan Undi 18 tanpa penangguhan dengan alasan yang tidak munasabah dan seperti yang dijanjikan.
Malah, Kerajaan Malaysia perlu meningkatkan keupayaan SPR dengan cara apa pun yang diperuntukan demi memastikan bahawa Undi 18 akan dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.
Muhammad Mumin Nusril
Pengarah Perpaduan Negara Media Kelab Gemilang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast