Peguam Hariz Syakinah & Co., Hariz Md Yusoff bercakap pada sidang media mengenai isu kepolisan johor dan integriti di Istana Kehakiman Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 30 MAC 2021.

PUTRAJAYA – Seorang peguam hari ini mempersoalkan bagaimana orang awam boleh mengetahui mengenai surat rasmi pihaknya yang ditujukan kepada Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada Ayob Khan pada 24 Disember tahun lalu memohon menyiasat mengenai tahap integriti badan penguat kuasa itu sebelum ia tersebar kepada umum.

“Isi kandungan surat tersebut telah tular di media sosial malahan keputusan penolakan polis untuk permohonan pertemuan itu pun diketahui umum,” katanya kepada wartawan di perkarangan Istana Kehakiman hari ini.

Muhammad Hariz berkata ia ekoran tindakan anak guamnya Saleha Yahya membuat laporan polis berhubung perkara itu pada 22 Jun tahun lalu.

Beliau juga berkata pihaknya terperanjat apabila mengenai perkara itu tular di media sosial pada 20 Januari lalu.

Surat itu berkaitan aduan yang mendakwa tiada tindakan terhadap dua rusuhan yang di buat di premis perniagaan anak guamnya.

“Bagaimana surat rasmi peguam boleh bocor ke tangan awam?” soalnya.

Peguam Hariz Syakinah & Co., Hariz Md Yusoff bercakap pada sidang media mengenai isu kepolisan johor dan integriti di Istana Kehakiman Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 30 MAC 2021.

Oleh yang demikian, pihaknya membuat satu laporan polis pada 9 Mac lalu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Utara malah telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Beliau dan anak guamnya dalam pada itu bercadang untuk mengadu perkara yang sama kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador tidak lama lagi.

“Bagaimanapun saya dimaklumkan oleh anak guam bahawa kes tersebut perlu dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Selain itu saya telah diarahkan oleh anak guam untuk memfailkan tindakan mahkamah terhadap polis,” katanya lagi. – MalaysiaGazette