Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi, foto HAZROL ZAINAL, 02 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah memulakan proses meminda Akta Persaingan 2010.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, melalui pindaan berkenaan, sebarang penggabungan dan pengambilalihan syarikat perlu mendapat kebenaran daripada suruhanjaya itu.

“Ini bertujuan untuk mengelakkan penumpuan pasaran yang boleh menggugat pasaran. Mana-mana syarikat yang bergabung tanpa kebenaran boleh diarahkan untuk memecahkan balik gabungan itu dan dikenakan denda,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pembentangan pindaan itu dijangka dibuat pada hujung tahun ini.

Semalam dua Ahli Parlimen PKR iaitu Wong Chen (Subang) dan Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh) menyuarakan kebimbangan terhadap undang-undang persaingan di negara ini.

Kedua-dua ahli Parlimen itu turut mencadangkan supaya undang-undang persaingan di negara ini dikaji semula, berdasarkan amalan monopoli oleh sesetengah syarikat.

Wong Chen dilaporkan mendakwa, syarikat seperti Grab dapat memanfaatkan kelebihan sebagai penggerak pertama untuk mewujudkan pengiktirafan jenama dan kesetiaan pelanggan, tetapi merasakan kerajaan juga perlu mempertimbangkan bahaya monopoli.

Mengulas lanjut, Alexander memaklumkan MyCC pada Oktober 2019, telah mengeluarkan satu keputusan cadangan terhadap Grab kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan dominannya dalam pasaran yang berkaitan dengan perkhidmatannya.

Jelasnya, keputusan akhir bagi kes ini akan dikeluarkan oleh MyCC setelah mendengar dan meneliti secara terperinci hujahan daripada pihak Grab yang telah dibuat barubaru ini.

Grab dalam kes tersebut telah mencabar keputusan cadangan MyCC pada peringkat Mahkamah Rayuan.

Selain itu, MyCC telah mengambil tindakan tegas terhadap beberapa syarikat yang didapati melanggar perlakuan anti persaingan, tambahnya.

“Seperti MyEG Services Sdn Bhd, DagangNet Sdn Bhd, Malaysian Airlines, AirAsia dan lain-lain lagi yang didapati melanggar perlakuan anti persaingan sama ada melalui perjanjian antipersaingan atau kartel dan penyalahgunaan kuasa dominan atau monopoli.

“Setakat ini, pihak MyCC telah mengeluarkan keputusan akhir terhadap syarikat-syarikat tersebut yang melibatkan jumlah denda yang melebihi RM160 juta,” tambahnya.-MalaysiaGazette