Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan bergambar bersama Ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO pada Upacara Menaikkan Bendera Sang Saka Bangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 28 MAC 2021.

Assalamualaikum WBT,

Selesai sudah Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bagi tahun 2020. Perhimpunan sebuah parti politik yang sememangnya ditunggu-tunggu bukan sahaja oleh ahli UMNO, malah tidak keterlaluan untuk saya katakan, seluruh rakyat Malaysia juga turut mengikuti rapat perkembangan parti politik terbesar dan tertua orang Melayu ini.

Parti UMNO sebelum PAU dilihat seperti bermain tarik-tali di dalam pendiriannya sama ada mahu bekerjasama atau tidak dengan parti PPBM pimpinan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Usai PAU, satu keputusan rasmi telah dikeluarkan dan kini, UMNO akan dinilai di atas keputusan tersebut.

Keputusan dari akar umbi itu dilihat begitu tegas dalam menolak kerjasama dengan PPBM. Ia merupakan satu signal jelas dalam memastikan UMNO kekal dominan sebagai parti terbesar.

Oleh yang demikian, saya percaya semua ahli parti mengharapkan agar adanya satu pelan yang menyeluruh supaya parti UMNO boleh bergerak ke hadapan sebagai sebuah parti yang benar-benar bersedia bagi menghadapi PRU15 di bawah panji Barisan Nasional (BN).

Perlu diingat, selepas apa yang diputuskan di dalam PAU, UMNO/BN akan bergerak sendiri dan dilihat bakal berdepan situasi getir. Kita bukan sahaja akan berdepan parti Perikatan Nasional (PN) selaku parti kerajaan, BN juga perlu berdepan cabaran dari Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah.

Perkara tersebut akan menjadikan PRU15 nanti sebagai sebuah medan untuk kita melihat sejauh manakah kekuatan BN dalam usaha untuk mendapatkan kembali kepercayaan rakyat.

Bagi PPBM pula, apa yang telah diputuskan oleh UMNO itu akan membuatkan pimpinan parti mereka untuk menyusun strategi terbaik bagi memastikan setiap kerusi parlimen yang mereka miliki akan terus kekal bersama mereka dan seterusnya cuba untuk memenangi kerusi-kerusi lain.

Jangan pandang ringan dengan keupayaan PPBM walaupun secara zahirnya mereka dilihat tidak ubah seperti ular lidi. Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan satu-satunya individu dalam sejarah politik Malaysia yang berjaya mengenepikan strategi Tun Dr Mahathir Mohamad

Mereka nampak tidak besar tetapi jangan kita merasakan yang UMNO sudah cukup kuat. Oleh itu, UMNO/BN memerlukan satu bentuk strategi yang bukan sahaja di luar kotak, tetapi dalam masa yang sama strategi yang mampu menarik pengundi agar kembali memberikan mandat kepada parti kita.

Strategi dan manifesto pilihan raya yang bakal diketengahkan kepada umum juga perlulah yang realistik dan tidak ‘over-promise’ seperti apa yang pernah dilakukan oleh PH sebelum PRU14.

Selain strategi yang ampuh, isu calon juga perlulah diambil kira oleh pimpinan tertinggi parti bagi memastikan calon yang diketengahkan bukan sahaja calon yang mempunyai kredibiliti tinggi di dalam parti, tetapi calon yang disenangi oleh rakyat di kawasan tersebut.

Tidak dinafikan, parti UMNO khususnya punya ramai pemimpin-pemimpin senior yang begitu berpengalaman. Namun begitu, saya melihat ‘trend’ semasa di dalam negara menampakkan yang rakyat mahukan wajah-wajah baharu dan segar selain individu yang dilihat ‘bersih’ untuk menjadi wakil mereka di parlimen ataupun di DUN.

Oleh itu, kepimpinan parti di bawah Datuk Seri Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden dan kesemua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) WAJIB mengusulkan nama-nama calon yang mempunyai ciri-ciri dikehendaki rakyat dan yang benar-benar dilihat mampu membawa kemenangan kepada parti.

Janganlah ada ‘pilih kasih’ di dalam proses pemilihan calon PRU nanti. Saya mengharapkan agar parti tidak lagi melakukan kesilapan dalam meletakkan calon di sesebuah kawasan.

Untuk UMNO kekal relevan, calon di sesebuah kawasan juga perlulah yang relevan. Jika di kawasan tersebut banyak pengundi muda, janganlah pula kita letakkan calon ‘recycle’ atau orang tua. Jangan pula calon muda diletakkan di kawasan hitam hanya untuk menunjukkan yang parti memberi ruang kepada orang muda.

Itu tidak lebih seperti ‘melepaskan betuk di tangga’. Tak salah jika adanya kombinasi calon lama dan calon muda
tetapi janganlah sampai orang muda dilihat seperti menagih simpati untuk dapatkan tempat.

Kepimpinan parti baik di peringkat nasional sehinggalah ke peringkat bahagian perlulah lebih berjiwa besar dalam memberi laluan kepada calon-calon muda dan baharu untuk membawa nama parti agar ia mampu kembali memenangi hati rakyat.

Parti juga perlu berikan masa kepada menteri-menteri dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO/BN untuk sekurang-kurangnya sehingga mereka dapat selesaikan tugas-tugas penting di kementerian masing-masing sebelum parti memutuskan untuk mereka meletakkan jawatan dan seterusnya menunjukkan kesetiaan terhadap parti.

Ini bagi mengelakkan persepsi negatif di kalangan rakyat bahawa menteri-menteri UMNO/BN ini sebagai tidak bertanggungjawab dan meninggalkan tugasan serta amanah yang diberikan separuh jalan.

Saya percaya, dengan berbuat demikian, parti akan dipandang sebagai sebuah parti yang lebih mementingkan kemaslahatan rakyat berbanding agenda politik semata-mata.

Akhir kata, saya selaku ahli UMNO mengharapkan agar parti dapat benar-benar
bergerak ke hadapan dengan satu semangat baharu pasca PAU 2020 dan membawa parti ke
satu keadaan yang lebih meyakinkan bagi menghadapi PRU15 kelak.

Sekian terima kasih.

Mohamad Ariff Bin Jamaluddin
Ahli UMNO

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast