Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,070 kes baharu Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor masih mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 327 kes.

Sarawak pula mencatatkan jumlah sebanyak (225), Pulau Pinang (133), Kuala Lumpur (88), Sabah (65), Johor (55), Pahang (37), Kedah (34), Kelantan (31), Labuan (17) dan Negeri Sembilan (12).

“Tiga negeri pula mencatatkan kes satu angka iaitu masing-masing lapan kes dilaporkan di Perak dan Putrajaya manakala Perlis mencatatkan tiga kes baharu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kes yang dilaporkan hari ini adalah antara terendah pernah direkodkan sejak awal Januari lalu, kata Dr. Noor Hisham.

Menurutnya, kes sembuh baharu pula merekodkan jumlah sebanyak 1,294 manakala jumlah kes aktif adalah sebanyak 14,278.

Ketika ini seramai 180 individu sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi dengan 89 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Terdapat tujuh lagi kematian hari ini menjadikan jumlah yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Malaysia sebanyak 1,295 kes.

Sebelum ini negara merekodkan 1,063 kes baharu positif Covid-19 pada 16 Mac lalu.

Sementara itu Dr. Noor Hisham memaklumkan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesan sebanyak enam kluster Covid-19 baru hari ini

Katanya, lima daripadanya adalah kluster tempat kerja dan selebihnya kluster komuniti.

Dua kluster dikesan di Selangor sementara Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Kedah masing-masing dengan satu kluster. – MalaysiaGazette