amarul Baharin Mansor (tengah).

SUBANG JAYA – Susulan kedudukan jawatan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sesi 2020-2022 belum dimuktamadkan – tiada sebarang kenyataan rasmi boleh dikeluarkan melainkan daripada setiausaha agung sahaja.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor menegaskan, selagi pemilihan semula jawatan presiden tidak dilaksanakan mana-mana pihak tidak layak mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai pendirian mahu pun keputusan badan itu mengenai sesuatu perkara.

“Sebelum ini, kita ada masalah dengan status jawatan Presiden MTUC, ada media telah mengambil kenyataan-kenyataan yang bukan daripada MTUC.

“Saya mohon kepada media untuk mengambil kenyataan-kenyataan yang sah daripada MTUC.

“Selepas ini tiada lagi mana-mana pihak mengaku bahawa mereka mewakili MTUC,” katanya pada sidang media di Wisma MTUC hari ini.

Pada 4 Disember lalu, bekas Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor didakwa mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan pendirian MTUC termasuk langkah kerajaan memperkenalkan skim pengeluaran i-Sinar.

Dalam perkembangan sama, MTUC akan melaksanakan pemilihan semula jawatan presiden badan itu pada 6 Jun depan yang sebelum ini ditandingi oleh tiga calon termasuk seorang penyandang jawatan itu.

“Kita buat keputusan bahawa presiden belum ada lagi dan keputusan pemilihan presiden sebelum ini seri, yang akan diadakan semula pada 6 Jun ini.

“Pemilihan tersebut akan dibuat semula bagi semua calon yang bertanding pada pemilihan lepas iaitu Datuk Halim Mansor, Japar Majid dan Azlan Yacob,” katanya lagi. – MalaysiaGazette