Pengerusi TNB, Datu Seri Mahdzir Khalid mengiringi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr. Sulaiman Md Ali (tengah) menyempurnakan gimik Majlis Perasmian Rangkaian Infrastruktur Jalur Lebar Allo Technology Peringkat Negeri Melaka bagi menyokong Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) di Melaka hari ini.

KUALA LUMPUR – Penyediaan infrastruktur capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) secara tidak langsung menggambarkan sokongan TNB dalam merapatkan jurang digital di kawasan bandar dan luar bandar di negara ini.

Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, melalui subsidiari TNB, Allo Technology Sdn Bhd (Allo) pihaknya menawarkan perkhidmatan segmen itu dalam bentuk yang lebih pantas dan diyakini termasuk di Melaka.

“Kemudahan infrastruktur gentian optik ini membuka peluang kepada lebih ramai penduduk Melaka untuk mendapat akses kepada internet jalur lebar pada harga yang berpatutan serta capaian kepada pelbagai sumber maklumat selain pendidikan dalam talian.

“Ia juga menyokong hasrat kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi pemerkasaan dalam bidang ekonomi digital, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang mencabar akibat wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahdzir berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran perasmian rangkaian infrastruktur jalur lebar peringkat negeri Melaka bagi menyokong Pelan Jalinan Digital di Melaka hari ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, penglibatan TNB untuk menjayakan Dasar Digital Negara adalah sesuai dengan peranan pihaknya selama ini sebagai Penggerak Kemajuan Negara dan kini peranan itu diperkukuhkan lagi bagi menangani cabaran Ekonomi Digital serta Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

“Dengan memanfaatkan rangkaian gentian optik sepanjang 18,000 kilometer yang melalui pencawang elektrik milik TNB di Semenanjung Malaysia, Allo berjaya menghubungkan 60,000 kediaman dengan rangkaian gentian optik di Melaka, Perak dan Kedah.

“Kini, TNB menerusi Allo mengorak langkah bagi melebarkan sayap perkhidmatan jalur lebar di empat negeri lain iaitu Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan selain meluaskan capaian di Perak dan Kedah dengan sasaran capaian 150,000 kediaman yang dijangka selesai pertengahan tahun ini.

“Allo juga sedang giat menjalin kerjasama dengan pembekal perkhidmatan runcit (RSP) lain,” ujarnya.

Sementara itu, TNB melalui Allo berjaya melengkapkan pembinaan infrastruktur gentian optik di Melaka.

Menurut kenyataan TNB hari ini, pembinaan itu mampu menghubungkan lebih 17,000 kediaman bagi menyokong Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Dengan tersedianya infrastruktur gentian optik ini, Allo sebagai penyedia akses terbuka berjaya meluaskan potensi capaian internet jalur lebar berkelajuan (HSBB) sehingga 1Gbps di Melaka yang kini disediakan oleh pembekal perkhidmatan runcit (RSP) Maxis, Astro, Digi dan Celcom,” kata kenyataan yang sama.

Terbaharu, kawasan yang mendapat faedah infrastruktur tersebut ialah Alor Gajah iaitu sebanyak 8,500 kediaman, Malim Jaya (4,400 kediaman); Ayer Keroh (500 kediaman) dan sekitar Jasin (2,500 kediaman).

“Kejayaan ini adalah susulan projek rintis HSBB yang siap dalam tempoh kurang dari tiga bulan bermula Januari 2019 yang menghubungkan 1,100 kediaman di Taman Maju, Taman Merbau Perdana dan Felda Kemendor,” menurut kenyataan itu. -MalaysiaGazette