Majlis menandatangani perjanjian pajakan tanah dimeterai bersama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang dengan World Glove International Group City & Hub Development Sdn Bhd (WGC) berlangsung disaksikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN – Pahang akan membangunkan sebuah hab sarung tangan dan produk perlindungan diri (PPE) di kawasan seluas 317 ekar di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini melibatkan pelaburan sebanyak RM100 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Mohd Faizal Jaafar berkata, pembangunan industri tersebut dijangka melibatkan sembilan fasa yang mana fasa pertama bermula Jun ini.

Fasa pertama projek itu dijadualkan siap pada Disember tahun ini.

“Kalau ikut perancangan yang dijadualkan, fasa pertama siap dalam tempoh enam bulan dan boleh beroperasi pada awal tahun depan,” katanya ketika ditemui  selepas majlis menandatangani perjanjian pajakan tanah yang dimeterai antara PKNP dengan World Glove International Group City & Hub Development Sdn Bhd (WGC) di sini hari ini.

Faizal mewakili PKNP manakala WGC diwakili Datuk Gianluca Ernesti.

Hadir sama menyaksikan majlis itu ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.

Dalam pada itu, Faizal menjangka pelaburan terbaharu itu akan membawa limpahan ekonomi kepada kawasan setempat dan sekitarnya.

Malah, hab itu bakal memberi peluang pekerjaan kepada 500 warga Pahang.

Menurutnya, sarung tangan yang dihasilkan dari hab yang sama menyasarkan pasaran Eropah, Amerika Syarikat dan Asia Tenggara.

Sejak tahun 1995, PKNP memainkan peranan sebagai agensi sehenti sebagai pemudahcara kepada pelabur untuk membina kilang dan bekerjasama dengan pelbagai agensi lain untuk mempromosi pelaburan di Pahang.

Sehingga Disember tahun lalu, sebanyak RM62.73 billion atau melibatkan sebanyak 657 projek telah diluluskan.

Angka itu membabitkan sejumlah RM50.40 bilion pelaburan dari pelabur asing manakala RM12.33 bilion pelabur domestik. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.