Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. foto FAREEZ FADZIL.

PUTRAJAYA – Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dilihat seolah-olah menjadi ‘pendakwa kedua’ terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Peguambela bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa Mohd Nazlan tidak menghakimi, sebaliknya  menyebelahi pendakwa raya dan  menyelamatkan kes yang  sebenarnya baginya tidak boleh disabitkan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 06 APRIL 2021.

Menurutnya, pihak pendakwaan ketika prosiding sebelum ini  gagal membuktikan bagaimana RM42 juta dipindahkan daripada SRC International Sdn Bhd.

“Pendakwaan sebenarnya jelas telah tewas sebab kita cakap tentang RM42 juta kalau RM42 juta pihak pendakwaan tidak boleh buktikan siapa yang pindahkannya daripada SRC, macam mana ia dipindahkan dan siapa beri kelulusan ia tidak dapat dibuktikan.

“(Datuk) Suboh (Md Yasin) nafi dia. Kenyataan Nik Faisal (Ariff Amir) juga tidak membuktikannya jadi pendakwa telah gagal dalam dalam prima facie.

“Hakim selamatkan kes pendakwa yang tidak boleh diselamatkan dia melangkah ke belakang, dia bertindak sebagai pendakwa raya kedua,” katanya kepada pemberita di lobi Istana Kehakiman hari ini.

Suboh yang dimaksudkannya ialah bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd manakala Nik Faisal merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International.

Muhammad Shafee semasa prosiding hari kedua hari ini turut menyebut tentang saksi ke-42 iaitu Suboh yang merupakan saksi yang tidak boleh dipercayai dan tidak berkredibiliti kerana sering memberikan kenyataan bercanggah kepada mahkamah khususnya berkaitan tandatangannya yang meluluskan pindahan wang.

“Bukti PW42 (Suboh) yang dinyatakan berkaitan dengan perwakilan yang diberikan oleh Nik Faisal atas permintaan atau arahan dari ‘pihak atas’ yang merujuk kepada DSSN (Najib) sebagai Penasihat Emeritus tidak boleh dipercayai.

“PW42 tidak menyatakan hal yang sama dalam lima pernyataan yang diberikannya kepada SPRM,” katanya lagi kepada Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai tiga panel.

Justeru beliau membuat kesimpulan kepada Mahkamah Rayuan bahawa Nazlan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi yang menghakimi kes pendakwaan yang dihadapi Najib sebelum ini gagal menganalisis secara kritikal kenyataan saksi yang bercanggah dan kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan bukti kukuh.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Nik Faisal tu sampai hari KPN tak boleh kesan…dia pun dah jadi beruang agaknya…dia duk luar negeri pakai pasport apa ya?

Comments are closed.