Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua kawasan baharu di Sarawak bermula esok.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kedua-dua kawasan yang terlibat adalah Penjara Sri Aman dan kuarters kakitangannya dan Kampung Serpan Laut, Asajaya, Bahagian Samarahan.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan situasi kes Covid-19 di Penjara Sri Aman dan kuarters kakitangan apabila telah melaksanakan sebanyak 482 ujian saringan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 289 kes positif Covid-19 direkodkan melibatkan 279 orang tahanan, lapan lapan petugas penjara dan dua dua ahli keluarga kakitangan penjara.

“KKM turut mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti tersebut dalam tempoh tujuh hari terakhir ini dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD kawasan itu bermula 8 hingga 21 April ini dan pergerakan keluar masuk serta lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam  kenyataan hari ini.

Ismail Sabri turut mengumumkan pelaksanaan PKPD di Kampung Serpan Laut, Asajaya, Bahagian Samarahan untuk tempoh yang sama.

Tambah beliau, setakat ini sebanyak 62 ujian saringan telah dilaksanakan dan lima daripadanya dikesan positif manakala penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kawasan berkenaan bermula esok.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan bersasar ke atas semua penduduk yang terlibat dan seterusnya menghalang penularan dalam komuniti.

Dalam pada itu beliau juga memaklumkan perlanjutan PKPD di Kampung Batu Gong, Siburan, Serian yang mana sebelum ini PKPD dikuatkuasakan di kawasan berkenaan dan sepatutnya dijadualkan tamat pada Jumaat ini.

“Sepanjang tempoh berkenaan, KKM telah melaksanakan 485 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 95 kes positif direkodkan.

“KKM juga mengesahkan masih berlaku penularan jangkitan serta terdapat kes baru yang dikesan dalam kalangan komuniti di lokaliti itu maka hasil penilaian risiko memutuskan PKPD dilanjutkan lagi bermula 10 April sehingga 23 April ini,” katanya.

Dalam pada itu tiga kawasan di negeri berkenaan ditamatkan PKPD iaitu di Kampung Lebak Moyoh dan Siasai Tamu, Kota Belud Sabah serta Kampung Chupak, Siburan, Serian, Sarawak pada esok.

Katanya, KKM telah melaksanakan 558 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 13 kes telah direkodkan sementara baki kes aktif di lokaliti itu terkawal dan semua kes positif telah menerima rawatan manakala kontak rapat telah diasingkan serta dipantau sehingga hari ke-14.

Ujar beliau, menerusi hasil penilaian risiko terbaharu, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD pada Khamis ini seperti dijadualkan sebelum ini.

“Penamatan PKPD turut dikuatkuasakan di Kampung Siasai Tamu pada esok hasil penilaian risiko yang dilaksanakan kali ini.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 602 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak sembilan kes telah direkodkan manakala kes terakhir direkodkan pada 22 Mac lalu iaitu lima kes sahaja dan baki kes aktif adalah terkawal.

“Satu lagi kawasan yang ditamatkan PKPD adalah Kampung Chupak, Siburan, Serian, Sarawak selepas penilaian risiko dilaksanakan di kawasan itu dan mendapati keadaannya terkawal dan tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“Sehingga kini, sebanyak 968 ujian saringan dilaksanakan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 111 kes telah direkodkan maka PKPD ditamatkan pada Jumaat ini,’ tegasnya.-MalaysiaGazette