Mohammad Hamdan menandatangani plat perasmian landskap sambil diperhatikan oleh Saadon di BBP Paya Terubong, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini dalam perbincangan terakhir berhubung draf pindaan terbaru Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, hasil perbincangan dan penyusunan pindaan itu akan diserahkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam tempoh terdekat.

Katanya, pindaan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam itu dibuat bagi memastikan seluruh negeri mengguna pakai undang-undang tersebut agar keselamatan penduduk terjamin terutamanya yang menghuni bangunan strata.

“Perbincangan berhubung pindaan itu kini diperingkat akhir dan esok kita akan bincang dengan semua pengarah bahagian sebelum ia dibawa kepada pengetahuan pihak kementerian.

“Penambahbaikan undang-undang itu dilakukan unit undang-undang JBPM dengan pegawai perundangan KPKT,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Lawatan Kerja dan Majlis Ramah Mesra bersama warga Bomba Pulau Pinang di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Bomba negeri, Saadon Mokhtar.

MalaysiaGazette difahamkan, pindaan itu dibuat berikutan kini banyak bangunan strata dibina di seluruh negara, namun pelaksanaan undang-undang tersebut gagal dipatuhi.

Ia termasuk kejadian kebakaran cawangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya pada 13 Februari 2018 yang dikatakan melanggar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata, BBP Paya Terubong telah dinaiktaraf sebagai balai bomba kategori B susulan penjajaran indeks risiko kebakaran dan perkembangan pembangunan di kawasan tersebut.

“Kita sebenarnya membuat penilaian ke atas kawasan-kawasan jagaan di bawah balai bomba tertentu khususnya di bandar besar seperti Pulau Pinang.

“Pihak bomba percaya pembangunan persekitaran yang semakin berkembang meningkatkan indeks risiko kebakaran dan ini sekali gus memerlukan khidmat bomba lebih banyak.

“Pulau Pinang ini merupakan sebuah negeri yang banyak perindustrian kilang, bangunan berstrata jadi perkhidmatan bomba perlu seiring dengan perkembangan agar sebarang kecemasan kebakaran berlaku kita dapat bertindak  dengan cepat,” ujar Mohammad Hamdan.

Mengulas mengenai jumlah pegawai dan anggota JBPM yang sudah menerima vaksin, Mohammad Hamdan berkata, seramai 8,100 anggota bomba sudah menerima dos pertama vaksinasi.

“Kesemua anggota yang mendaftar melalui Program Imunisasi Covid-19 sudah menerima suntikan dos pertama manakala bagi dos kedua pula, setakat ini seramai 5,010 sudah menerimanya.- MalaysiaGazette