Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Dato’ Seri Mahdzir Khalid (dua, kiri) menyerahkan sumbangan Ceria Ke Sekolah (CKS) TNB Tahun 2021 peringkat negeri Melaka kepada Datuk Seri Utama Dr. Sulaiman Md Ali, Ketua Menteri Melaka (dua, kanan) pada 5 April lalu. Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din (kanan) dan Ketua Retail Negeri Melaka, Ir. Khairizam Ibrahim (kiri).

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM3 juta telah diperuntukkan oleh Tenaga Nasional Berhad untuk membantu hampir 30,000 murid daripada golongan keluarga berpendapatan rendah (B40).

Ia dilakukan di 208 kawasan terpilih menerusi program Ceria Ke Sekolah 2021.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata daripada jumlah itu sebanyak RM2.5 juta telah disalurkan kepada lebih 25,000 pelajar di negeri Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Pahang, Perak dan Terengganu setakat ini.

Jelasnya, sejak perlaksaan program Ceria Ke Sekolah pada 2013 ini, TNB telah membantu seramai 36,018 keluarga dengan jumlah sumbangan RM7.5 juta di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

“Program ini adalah inisiatif Tanggungjawab Korporat TNB (CR) dalam bidang pendidikan. Ia bertujuan meringankan beban golongan kurang berkemampuan dalam menyediakan persiapan persekolahan anak-anak mereka.

“Diharapkan dengan bantuan yang dihulurkan ini dapat mengurangkan tekanan keluarga yang kurang berkemampuan untuk melakukan persediaan anak-anak mereka ke sekolah susulan pandemik Covid-19,” ujarnya.

Pada 5 April lalu, seramai 1,200 murid di beberapa buah sekolah rendah Melaka telah menerima sumbangan bernilai RM120,00.

Peruntukan bagi pembelian kelengkapan asas persekolahan seperti pakaian seragam sekolah, kasut, beg dan alat tulis itu telah disampaikan oleh Pengerusi TNB kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali. -MalaysiaGazette