Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) mengangkat pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Malah, PH turut mengambil pendirian terbuka untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak namun ia perlu berdasarkan prinsip dan agenda reformasi demi kepentingan rakyat dan negara.

Keputusan itu dicapai pada pemukiman pimpinan PH di Port Dickson pada 8 dan 9 April 2021.

Dua perkara itu antara tujuh Ketetapan Port Dickson yang dibuat oleh PH menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Antara lima ketetapan lain ialah mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen dan dengan itu menamatkan darurat.

PH juga menurut kenyataan itu, mengulangi ikrar, tekad dan iltizam untuk terus memperkukuh pakatan tersebut dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 dan seterusnya memaparkan upaya untuk mentadbir dan memerintah negara dengan amanah, demokratik dan adil.

PH turut mengiktiraf potensi dan kepentingan Wilayah Sabah dan Sarawak sebagai enjin pertumbuhan ekonomi yang baharu dalam memacu pembangunan negara, dengan jaminan pengagihan sumber yang lebih saksama, seiring dengan sinergi pembangunan ibukota baharu Indonesia di Kalimantan.

Katanya, PH akan menggerakkan semua wakil rakyat dan pimpinan negeri untuk memerah seluruh potensi dan keupayaan bagi menangani isu-isu dasar berkait pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dan akan meneruskan proses libat urus bersama semua pemegang taruh untuk membentuk manifesto PH.

Tambahnya, PH akan memulakan siri jelajah ke negeri-negeri untuk memberikan penerangan kepada Rakyat berkait pendirian dan tawaran Pakatan Harapan menyentuh isu ekonomi rakyat, kestabilan politik dan krisis pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette