bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Petunjuk pasaran FBM KLCI dijangka diniagakan tinggi minggu depan, membina prestasi lebih kukuh dalam pasaran ekuiti, selepas melepasi paras kritikal minggu lalu, kata penganalisis.

Pencarta Kanan Maybank Investment Bank Bhd Nik Ihsan Raja Abdullah berkata bursa tempatan dijangka menyaksikan tidak banyak berubah berikutan aktiviti pengambilan untung dalam hartanah selepas meningkat baru-baru ini, manakala saham perbankan dijangka kekal dalam jajaran kecil.

“Bagaimanapun, minat belian boleh terus berkembang dalam penjagaan kesihatan dengan sektor teknologi dijangka kembali.

“Kami berpendapat FBM KLCI akan berada antara 1,600 dan 1,650 mata minggu depan, mengambil kira tanda-tanda optimisme. Paras halangan segera pada 1,620 dan 1,650 mata manakala paras sokongan utama kekal pada 1,575 dan 1,560 mata,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim menjangka pasaran terus berhati-hati dengan perkembangan semasa mengenai gelombang baharu COVID-19 di Eropah dan beberapa kawasan di Asia.

“Ini dapat memberikan dorongan melalui kaunter sarung tangan untuk bursa tempatan tetapi pada masa sama trajektori ke arah pemulihan ekonomi global boleh terganggu,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, bursa tempatan diniagakan rendah untuk dua hari pertama, berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi walaupun terdapat banyak petunjuk positif daripada Wall Street yang mencatatkan paras tertinggi berikutan data ekonomi yang positif.

Bursa Malaysia meningkat semula untuk tiga hari kemudian pada minggu ini berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah, melepasi paras psikologi 1,600 mata. Antara kaunternya ialah kaunter sarung tangan, perladangan dan syarikat telekomunikasi dalam persekitaran pelbagai perkembangan dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI naik 26.9 mata kepada 1,612.25 daripada 1,585.35 pada Jumaat lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas naik 155.82 mata kepada 11,898.92, Indeks FBMT 100 menambah 153.20 mata kepada 11,546.56, Indeks FBM Emas Shariah menokok 275.31 mata kepada 13,281.16, FBM 70 naik 57.65 mata kepada 15,786.97 dan Indeks FBM ACE meningkat 206.42 mata kepada 9,995.54.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 62.73 mata kepada 15,213.83, Indeks Tenaga susut 17.02 mata kepada 920.10, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.46 mata kepada 193.56 dan Indeks Perladangan jatuh 61.91 mata kepada 6,983.63.

Indeks Teknologi naik 0.30 mata kepada 87.65,  Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat 111.65 mata kepada 3,049.35 serta Indeks Telekomunikasi dan Media menambah 26.91 mata kepada 747.72.

Jumlah dagangan merosot kepada 34.59 bilion unit bernilai RM18.68 bilion daripada 35.38 bilion unit bernilai RM18.02 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 19.89 bilion saham bernilai RM15.34 bilion daripada 23.28 bilion saham bernilai RM14.77 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 1.74 juta unit bernilai RM231.26 juta daripada 3.51 bilion unit bernilai RM374.24 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 12.94 bilion saham bernilai RM3.11 bilion daripada 10.75 bilion saham bernilai RM3.03 bilion pada minggu sebelumnya. – MalaysiaGazette