Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun (kanan) hadir pada Majlis Apresiasi sempena Sambutan Ulang Tahun ke-75 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 11 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan bantuan kebajikan yang cekap dan mesra rakyat, kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan memperkasakan peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan telah menggariskan tiga usaha penambahbaikan jabatan yang berusia 75 tahun itu.

“Antara penambahbaikan itu adalah penstrukturan semula Jabatan Kebajikan Masyarakat termasuk usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan bantuan, penyelarasan perjawatan serta menambah baik pengagihan tugas.

“Kedua, pemberian elaun khas kepada warga kerja JKM yang berkhidmat di kawasan berisiko seperti institusi warga emas dan OKU; dan terakhir penggubalan Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial,” katanya semasa berucap pada majlis Apresiasi sempena ulangtahun ke 75 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), sebentar tadi.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan timbalannya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial adalah bagi memastikan kebajikan para pekerja sosial terbela termasuk Pegawai Kebajikan Masyarakat agar mereka diiktiraf mengikut kepakaran masing-masing.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, penggubalan RUU itu masih di peringkat Jabatan Peguam Negara.

Tambah Muhyiddin, ia selaras dengan fokus penubuhan dan fungsi JKM untuk menyampaikan perkhidmatan bantuan kebajikan dalam kalangan masyarakat sejak penubuhannya pada tahun 1946.

“Warga JKM telah menzahirkan komitmen yang tinggi dalam menggalas tanggungjawab masing-masing demi menjaga kebajikan segenap lapisan masyarakat.

“Ini termasuklah dengan memberi tumpuan kepada lapan kumpulan sasar seperti kanak-kanak, warga emas, OKU, wanita, mangsa keganasan rumah tangga dan mangsa bencana. Ketabahan dan kecekalan yang dipamerkan oleh para warga JKM amat dihargai,” ujar Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Terdahulu, ketika berucap, Rina berkata, kementeriannya sedang memperjuangkan lima inisiatif iaitu penstrukturan semula JKM, permohonan elaun khas untuk warga JKM, penggubalan rang undang-undang profesion kerja sosial, pemerkasaan penerima bantuan melalui pelaksanaan 1 Year Exit Programme dan bantuan tanpa tunai kepada penerima bantuan JKM dengan kerjasama strategik Bank Islam Malaysia Berhad.

Sementara itu, JKM memperkenalkan Anugerah Hero dan Heroin Jaket Oren sebagai pengiktirafan kepada warga jabatan itu.

Kementerian mengangkat Setiausaha Pasukan Pelindung Kanak-kanak daerah Klang, Tuah Sajali dan Timbalan Pengerusi Persaruan Kanak-kanak Penyayang Negeri Sabah, Dayang Rugayah Ag Besar sebagai penerima Anugerah Hero dan Heroin Jaket Oren, tahun ini.

Menurut Rina, anugerah ini sebagai pengiktirafan atas sumbangan bakti dan keberanian dalam melaksanakan tugas menyantuni masyarakat terutamanya ketika menghadapi Covid-19.

“Saya percaya bahawa semua warga JKM adalah hero dan heroin yang besar sumbangannya sesungguhnya keberadaan anda sebagai hero dan heroin jaket oren sentiasa dekat di hati kerajaan,” kata Rina dalam majlis sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast