Hishammuddin Hussein

KLUANG: Ahli UMNO diminta berhenti melaga-lagakan pemimpin dan berhenti cubaan mewujudkan kem-kem yang hanya akan memecah belahkan parti..

Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sejak kebelakangan ini terdapat banyak batu api dalam kalangan ahli politik yang mahu menjatuhkan kepimpinan utama dalam UMNO.

“Kita minta berhentilah melagakan pemimpin atau ingin wujudkan usaha-usaha tertentu.

“Kita banyak lagi agenda, yang penting kestabilan parti kita sendiri,” katanya.

Tambah beliau, kini apa yang penting ialah mengukuhkan UMNO dan jika masih terdapat pihak tertentu yang mahu melaga-lagakan pemimpin selepas Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini mana ini akan menjejaskan banyak pihak.

Menurut Hishammudin, jika perkara itu tidak dibendung ia dibimbangi akan memberi kesan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Perkara ini telah lama berlaku, tetapi kalau tidak dikawal ia bukan sahaja memberi kehangatan kepada ahli tetapi rakyat juga akan memandang serong kepada UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette