Anggota penguatkuasa LUAS meletakkan 10 beg serbuk karbon teraktif di Batang Benar bagi mencegah sebarang pencemaran bau dalam air mentah

KUALA LUMPUR – Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) meletakkan 10 beg serbuk karbon teraktif di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan semalam berjaya  mencegah sebarang pencemaran bau dalam air mentah.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian berkata, ia susulan insiden pencemaran air di sungai itu berwarna putih ekoran insiden sebuah kilang cat terbakar di Nilai 3, Nilai, Negeri Sembilan, petang semalam.

“Tindakan pantas kawalan di tapak telah berjaya mengelakkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sg. Semenyih dan tiada berlaku gangguan bekalan air kepada pengguna.

“Langkah-langkah mitigasi susulan dan pemantauan rapi dari semasa ke semasa dijalankan oleh LUAS bersama pihak-pihak terlibat bagi memastikan sumber air Negeri Selangor terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Insiden sebuah kilang cat terbakar di Nilai 3, petang semalam punca pencemaran air Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan

Loy Sian juga berkata, siasatan awal LUAS mendapati terdapat aliran air berwarna putih telah masuk ke Tasik Ujana Nilai Impian sebelu mengalir ke Sg. Batang Benar berikutan kerja-kerja memadamkan api di kawasan kilang cat berkenaan.

“LUAS telah mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas (LRA) Sg. Semenyih,” katanya.

Siasatan LUAS juga mendapati jarak insiden tersebut ke muka sauk Jenderam Hilir, Sungai Semenyih anggaran dalam 13.7 kilometer (km) dan dalam tempoh sembilan jam untuk sampai ke muka sauk tersebut.

“Ujian pensampelan bau telah dilaksanakan di tiga lokasi berbeza di Sg. Pajam, Sg. Beranang dan Sg. Semenyih mencatatkan kadar bau sifar (0) ton.

“Pihak Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan juga telah dimaklumkan untuk bersama-sama menjalankan siasatan di kawasan Negeri Sembilan.

Katanya lagi, LUAS meneruskan pemantauan ke lokasi Sungai Pajam dan mendapati keadaan air di situ adalah normal dan jernih selain mencatatkan bau sifar (0) ton malam tadi.

“Berdasarkan pemantauan statik LUAS sehingga jam 8 pagi hari ini (13 April 2021) di Jambatan Sungai Pajam, ujian pensampelan bau mencatatkan bacaan sifar (0) ton dan aliran air sungai dalam keadaan normal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette