Tertuduh, Mohd Haire Aw Sudin, 43 mengaku tidak bersalah ke atas empat-empat pertuduhan dibawa keluar dari Kamar Mahkamah Majistret 2, di Kompleks Mahkamah Kuantan.

KUANTAN – Seorang bekas Penolong Eksekutif Felcra Bhd. (Felcra) hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, terhadap empat pertuduhan menipu dan memalsukan buku akaun milik majikannya.

Mohd Haire Aw Sudin, 43, yang menguruskan akaun majikannya didakwa melakukan kesalahan itu tiga tahun lalu sebelum diberhentikan kerja pada Julai 2020.

Tertuduh menghadapi tiga pertuduhan sama yang mana dia didakwa dengan sengaja didapati menipu, memalsukan kira-kira di dalam buku akaun Impres Tabung Kebajikan Peserta (AJKKP) di pejabat Felcra Kawasan Endau di Rompin antara Januari hingga Mac 2018.

Mohd Haire juga  menghadapi satu pertuduhan yang sama yang mana dia didakwa melakukan memalsukan kira-kira di dalam buku akaun pada bulan April 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 477A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abidin mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi semua pertuduhan.

Namun Mohd Haire memohon ikat jamin dikurangkan dengan alasan dia tidak mempunyai pendapatan tetap, menanggung anak lelaki dan perempuan yang merupakan orang kurang upaya (OKU) selain menjaga kedua orang tua dan mentua yang sudah uzur di kampung serta sukar mendapat pekerjaan susulan mempunyai rekod lampau.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM14,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport dan melaporkan diri di pejabat SPRM pada setiap bulan bermula April sehingga perbicaraan selesai.

Ahmad Zamzani menetapkan 5 Mei sebagai sebutan semula kes. -MalaysiaGazette