Ir. Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) mengajak rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini untuk sama-sama mengekang serta menghentikan perbuatan yang bertentangan dengan Rukun Negara.

Sambil mengecam tindakan seorang majikan memukul dua pekerjanya kerana berpuasa, Ketuanya, Senator Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, perbuatan seumpama itu tidak sepatutnya berlaku lagi di abad ini.

“Saya terkejut, malah mengecam perbuatan majikan itu. Dia patut dikenakan hukuman setimpal kerana memukul dua pengawal peribadinya dengan rotan dan diacukan pistol hanya kerana mereka berdua berpuasa.

“Tindakan majikan ini juga bertentangan dengan prinsip Rukun Negara serta Perlembagaan Persekutuan yang sepatutnya menjadi pegangan kepada setiap lapisan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan, dua pengawal peribadi kepada ahli perniagaan dipukul sehingga cedera dan menerima ugutan bunuh kerana berpuasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejadian dipercayai berlaku di sebuah kondominium di Jalan Pinang, Kuala Lumpur.

Katanya, kedua mangsa bekerja dengan sebuah syarikat keselamatan dan dilantik sebagai pengawal peribadi majikan itu yang berusia 43 tahun.

Mengulas lanjut, Ir. Khairil Nizam berkata, sekiranya masih ada yang mengamalkan budaya sentimen agama serta kaum yang sempit serta rendah akal budi seperti itu, rakyat akan hidup dalam keadaan huru hara dan tidak tenteram.

Islam, katanya, mengajar umatnya untuk saling mengenali, menghormati dan lengkap-melengkapi meskipun berbeza latar belakang agama serta bangsa.

Justeru, beliau berharap masyarakat di Malaysia tanpa mengira kaum dan agama bersama-sama mengekang dan menghentikan perkara seumpama itu daripada berulang lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.