Zairudin Hashim.

KUALA LUMPUR – Penerbitan video judi yang dibuat bertema sambutan Hari Raya disifatkan sebagai usaha pihak tertentu untuk menormalisasikan secara terbuka aktiviti perjudian yang diharamkan dalam Islam.

Normalisasi sebegini amat membimbangkan apatah lagi umat Islam turut dikejutkan dengan laporan berita dua pengawal peribadi dipukul sehingga cedera oleh majikan mereka kerana berpuasa.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, keadaan ini amat membimbangkan kerana ia tidak pernah dilaporkan berlaku sebelum ini.

”ABIM melihat ini menggambarkan seolah-olah berlaku trend peningkatan isu-isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam dan memberi gambaran bahawa kerajaan gagal bertindak dengan tegas menegakkan serta mempertahankan syiar Islam di negara ini,” katanya di sini hari ini.

Lantaran itu, menurut beliau, ketegasan ini penting agar kesucian Islam tidak hanya slogan retorik untuk memainkan perasaan umat Islam semata-mata.

Tegasnya, pihak berkuasa digesa untuk menyiasat serta mengambil tindakan serius berhubung dua perkara ini, memandangkan ia membabitkan sensitiviti umat Islam serta kesucian bulan Ramadan.

Dalam pada itu, kata beliau, ABIM juga mengajak masyarakat untuk melaporkan sebarang salah laku atau pencanggahan hak asasi manusia kepada pihak berkuasa.

”ABIM mengambil kesempatan ini untuk menasihati orang ramai agar tidak melibatkan isu perkauman sempit mahupun menyebar sebarang provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti serta menjejaskan keharmonian antara masyarakat Malaysia,” ujar Zairudin. – MalaysiaGazette