Datuk Arjunaidi Mohamed

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian dan menyebarkan sesuatu berita dari sumber yang tidak sahih berhubung tangkapan lima suspek yang ada kaitan dengan tindakan memukul dua pengawal peribadi kerana berpuasa.

Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed turut menggesa dan menasihatkan masyarakat agar tidak mengambil undang-undang di tangan sendiri dan mengeruhkan keadaan.

Peringatan ini dibuat selepas Polis Kontinjen Selangor telah mengesan beberapa video klip yang dimuat naik dari pelbagai platform media sosial yang menggesa supaya tindakan setimpal diambil terhadap suspek yang memukul dua orang pengawal peribadi itu.

Selain itu turut terdapat beberapa gesaan berbaur ugutan daripada pihak tertentu untuk mengisytiharkan perang dan mengepung kawasan Klang.

Artikel berkaitan: Dua ‘bodyguard’ dibelasah, diugut bunuh kerana berpuasa

Arjunaidi berkata, kenyataan begini boleh mengeruhkan keadaan serta menjejaskan ketenteraman awam dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Mengulas perkembangan kes itu, beliau berkata, sehingga ini, seramai lima orang telah ditangkap melalui beberapa siri tangkapan bagi membantu siasatan.

Dari jumlah tersebut, seramai empat orang telah ditangkap di Klang Selatan, Selangor, sementara seorang lagi di Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Kesemua suspek telah ditahan reman antara lima hari hingga tujuh hari. – MalaysiaGazette