Two bodyguards sustained injuries after being assaulted by their employer for fasting.
Kertas siasatan ahli perniagaan mencederakan dan mengugut bunuh dua pengawal peribadinya kerana berpuasa baru-baru ini sudah hampir lengkap.

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan ahli perniagaan mencederakan dan mengugut bunuh dua pengawal peribadinya kerana berpuasa baru-baru ini sudah hampir lengkap.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek bakal diheret ke mahkamah untuk menghadapi proses pendakwaan.

“Siasatan ke atas majikan berkenaan yang turut terlibat kegiatan haram dengan rampasan wang dolar Amerika dan ketulan emas 100 kilogram di sebuah rumah Klang itu juga dalam peringkat akhir dilengkapkan polis,” katanya.

Menurut Mohamad Zainal, suspek  berusia 43 tahun itu juga pada masa yang sama akan diserahkan juga kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk siasatan kes di kawasan berkenaan.

Ia berikutan tangkapan empat lagi rakan dan pekerjanya sebagai suspek terlibat dalam insiden jenayah tersebut di Bukit Tinggi pada awal pagi Rabu lalu.

“Siasatan kes pengawal keselamatan dipukul kerana berpuasa sudah hampir dilengkapkan. Kita akan cadangkan pertuduhan ke atas suspek utama ini di mahkamah yang mana reman tiga hari ke atas suspek akan tamat esok (Sabtu),” katanya ketika dihubungi hari ini.

“Dalam masa yang sama, kita di sini pula akan melengkapkan kertas siasatan dan akan menghantar ke Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat untuk arahan pendakwaan ke atas individu itu,” tegasnya.

Dalam kejadian pertama di sebuah Kondominium di Jalan Pinang, kedua-dua bodyguard itu ditampar dan dipukul di kepala dengan telefon bimbit oleh suspek utama kerana tidak suka kedua-dua pengawal peribadinya sedang berpuasa ketika bertugas.

Kemudian kedua-dua suspek dibawa oleh majikan berkenaan ke lokasi kedua di sebuah rumah di Batu Nilam, Bukit Tinggi Klang sebelum mengambil pistol daripada salah seorang mangsa dan mengacukan ke arahnya sambil mengugut membunuhnya.

Kedua-dua mangsa kemudian turut dipukul dengan rotan sehingga darah membeku di belakang badan sebelum mereka membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di Hospital Klang.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dalam sidang media khas insiden itu mengesahkan lima suspek telah ditahan dalam kes ini iaitu suspek utama direman tiga hari sehingga Sabtu ini di Dang Wangi manakala empat lagi suspek direman antara lima hingga tujuh hari sehingga Rabu depan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Malah beliau turut membongkar penglibatan majikan berkenaan dalam kegiatan haram iaitu judi online dan juga ahlong selepas polis merampas emas bernilai RM28.45 juta seberat 100 kilogram di rumah salah seorang daripada empat suspek yang ditahan di dua lokasi berasingan di Klang.- MalaysiaGazette