Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

Johor Bahru – Hasrat seorang wanita dan juga suri rumah untuk menambah pendapatan keluarga pada bulan Ramadan dengan menjual kuih, musnah apabila terpedaya dengan sindiket penipuan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mangsa telah membuat laporan polis pada jam 4.46 petang di Balai Polis Skudai di sini.

Beliau berkata, mangsa mendakwa ditawarkan peluang perniagaan menjual biskut raya dengan menggunakan modal serendah RM500.

Menurutnya, dalam kejadian pada 2 Disember 2020 mangsa berusia 34 tahun dijanjikan akan menerima modal tambahan sebanyak RM1,500 dan menerima 1,600 balang biskut raya untuk dipasarkan ke luar negara.

“Pada 11 Disember 2020, suspek mengadakan  perjumpaan dengan mangsa dan beberapa mangsa lain di Dewan Muhibbah Kulai bersama suspek.

“Ketika perjumpaan mangsa dikehendaki membuat pembayaran tambahan bagi modal untuk membeli kelengkapan yang tidak pernah dinyatakan sebelumnya.

“Mangsa mendakwa tidak menerima modal tambahan RM1,500 seperti dijanjikan,” katanya.

Menurut Ayob, mangsa yang tertarik dengan tawaran berkenaan telah memasukkan wang sejumlah RM500 dalam akaun CIMB milik suspek dikenali sebagai Siti Asmah.

Sebanyak tiga laporan polis diterima membabitkan modus operandi yang sama.

Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan dan boleh didenda.

Menurutnya, orang ramai dinasihat berhati-hati dengan peluang perniagaan ditawarkan terutama yang menjanjikan pulangan berlipat kali ganda.

“Kami menerima banyak panggilan telefon berkaitan kes berkenaan, oleh itu kami menasihati individu atau mangsa tampil membuat laporan polis serta membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini. – MalaysiaGazette