KUALA LUMPUR – UMNO menyanggah dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bahawa parti itu tidak ada calon perdana menteri.
Sebaliknya, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, UMNO hanya belum menamakannya lagi.
”Bila hendak menamakan, itu keputusan UMNO-lah. Setahu kami, PRU bukan esok,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau mengulas dakwaan Ketua Penerangan PPBM, Wan Saiful Wan Jan yang menyatakan UMNO sehingga hari ini tiada calon PM.
Lagipun, tegas Shahril, sistem demokrasi negara ini masih tergendala akibat keputusan darurat.
”Jadi hendak buktikan majoriti di Parlimen pun tak mampu, apatah lagi hendak PRU segera. Maka, UMNO tak tergesa-gesa hendak menamakan calon PM,” tambah beliau.
Katanya, UMNO berbeza dengan PPBM kerana UMNO ada ramai pemimpin berkaliber yang boleh diketengahkan bukan hanya sebagai calon suatu jawatan perdana menteri tetapi membarisi kepimpinan secara umumnya, baik di peringkat persekutuan atau negeri.
”Untuk PPBM, mungkin mudah sebab fikir hanya satu jawatan dan sememangnya tiada orang lain untuk jawatan itu. Sesudahnya jika dapat jawatan itu, yang lain mungkin boleh tangkap muat.
”Tidak untuk UMNO. Pendekatan kami berbeza,” tegas beliau.
Mengulas kenyataan Wan Saiful yang menyatakan partinya tiada calon perdana menteri yang lain kecuali Muhyiddin, Ketua Penerangan UMNO itu berkata, tanggapan itu mungkin benar buat PPBM.
”kerana selain Muhyiddin yang memang sudah duduk kerusi PM, boleh namakan siapa pemimpin dalam PPBM yang disegani? Yang terkenal dengan sesuatu positif? Yang dilihat sebagai “potential PM”?
”Maka, mungkin ya, untuk PPBM anda hanya ada seorang. Tapi tak bermaksud parti lain tak mampu menyaingi,” kata Shahril. – MalaysiaGazette
Selagi tiada pemilihan selagi itulah rakyat terbayang Zahid sebagai PM sebab dia Presiden.