ACP Arifai Tarawe

GOMBAK – Perbuatan ejek-mengejek antara dua kumpulan lelaki di sebuah restoran makanan berakhir dengan kecederaan selepas berlaku adengan membaling botol kaca sesama mereka.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi semalam, di sebuah restoran yang terletak di Rawang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian tercetus semasa mangsa yang berusia 29 tahun sedang minum bersama rakan-rakan di sebuah restoran.

Ketika itu telah berlaku perselisihan faham dengan sekumpulan lelaki lain akibat tindakan ejek-mengejek antara mereka.

Katanya, keadaan menjadi kecoh apabila kumpulan lelaki tersebut bertindak membaling botol kaca yang berada di atas meja ke arah pengadu dan rakan-rakan.

”Mangsa dan rakan-rakan turut membaling botol kaca ke arah kumpulan tersebut, yang kemudian berlaku pergelutan antara mereka.

“Bagaimanapun mangsa telah mengajak rakan-rakannya untuk beredar sebelum pergaduhan menjadi lebih buruk,” katanya.

Akibat kejadian itu mangsa cedera ringan di bahagian tangan sebelah kiri dan dada.

Bertindak atas laporan polis yang dibuat mangsa, polis Gombak berjaya mengesan dan menangkap lapan lelaki tempatan berumur antara 23 – 29 tahun bagi membantu siasatan.

Kesemua suspek itu telah ditahan hari ini antara 1.30 tengahari hingga 8.30 malam tadi.

Empat suspek ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk memberi keterangan manakala empat lagi menyerah diri.

Katanya, beberapa suspek lagi sedang diburu polis.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes Insp Mohamad Ridzuan Roslan di talian 03-61262222 / +60 14-664 2011.- MalaysiaGazette