Rentas negeri dan daerah masih dikekalkan termasuk dalam negeri PKPB.

KALAU di Malaysia, belum lagi berlaku kejadian menteri meletakkan jawatan kerana
ketidakupayaan melaksanakan tugasan-tugasan yang diamanahkan, walaupun pada
hakikatnya ramai yang patut berbuat demikian.

Baru-baru ini Menteri Kesihatan Austria, Rudolf Anschober mengumumkan peletakan
jawatan berikutan terlalu kepenatan dan teruk bekerja akibat menguruskan krisis Covid-19.

Beliau dilantik sebagai Menteri Kesihatan pada awal tahun lalu ketika Green Party
membentuk gabungan ‘luar biasa’ dengan parti konservatif pimpinan Canselor Austria, Sebastian Kurz untuk membentuk kerajaan sebelum pandemik ini mula menular di negara Eropah itu.

Anschober, 60, yang sebelumnya bertugas sebagai wartawan itu menyatakan bahawa
tugasnya selama 15 bulan itu dirasakan bagai 15 tahun.

Meninggalkan jawatan

Sejak terbentuknya pemerintahan Austria yang merangkumi Austrian People’s Party yang
konservatif dan Green Party pada Januari 2020, Anchober telah mengetuai Kementerian
Kesihatan yang telah menjadi kementerian terpenting semasa wabak Covid-19 melanda.

Melihat kepada tindakan drastik itu, dapat kita lihat betapa beliau sangat mementingkan
integriti walaupun memiliki kompetensi apalagi kredibiliti untuk meneruskan tugasnya.
Meninggalkan jawatan dan pangkat, mengakui ketidakupayaan diri untuk meneruskan
amanah dan tanggungjawab bukan sesuatu yang mudah, itulah tindakan berani yang
dilakukan oleh seorang Anschober.

Berbalik kepada realiti di negara kita ini, tidak habis-habis ‘orang politik’ bercakaran sesama mereka, mencuit sana, mencuit sini, dan kesannya rakyat yang terpaksa tanggung. Ya, kita masih belum berjaya menangani pandemik yang berleluasa ini.

Sewajarnya jemaah menteri lebih melaksanakan peranannya dalam negara bagi membanteras isu ini.

Betapa ‘kasta’ terus terserlah

Ketika rakyat marhaen membuat silap, laju sahaja pihak berkuasa mengenakan tindakan
kepada yang melakukannya. Sangat berbeza sekali dengan orang berada apalagi punya
pangkat dan jawatan dalam kerajaan.

Seorang artis membuat silap, ramai pengikutnya mengatakan, “Maafkan saja, dia tak
sengaja.” Segalanya telah ternyata dan terbukti, tersebar merata mereka melakukan kesilapan dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang pihak berkuasa tentukan.

Namun sebagaimana laporan media semalam, pihak berkuasa sudah mencadangkan
supaya kompaun dikeluarkan terhadap pasangan terbabit sedangkan kes itu berlaku pada
27 Mac lalu. Baru nak cadang ya! Bukan teruskan tindakan. Bayangkan jika yang buat itu rakyat biasa dan tiada apa-apa, tentu mereka sudah dikenakan hukuman.

Begitu juga seorang pak menteri ke luar negara dengan jet mewah yang dikatakan ‘ditaja’
itu, maka pihak mereka akan membalasnya, “Bukan duit kerajaan pun.” Mungkinkah jika dia bukan seorang menteri, akan dapat seperti itu? Bersamalah kita fikirkan.

Namun, ketika rakyat biasa tanpa sengaja berbuat khilaf, maka dihumbankanlah pelbagai
kata kerana ia seorang rakyat biasa. Sampai bila perkara ini dibutakan dan dipekakkan oleh mereka yang sedang berkuasa?

Ingatlah kita, kaum terdahulu diazab dengan segera kerana dosa-dosa mereka. Istimewanya kita, Allah berikan ‘tangguh’ untuk hamba-Nya sentiasa bertaubat dan memperbaiki kesilapan yang ada, bukan terus melakukannya hingga habis berkuasa.
Apa nak jadi dengan negara ini?

Atriza Umar
Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Wartawan bukan doktor perubatan memang sepatutnya tak layak jadi menteri tangani pandemic menurut common sense.

Comments are closed.