Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kedai ÔOnlineÕ Shopee Keadilan di Ibu Pejabat Keadilan, Petaling Jaya. Foto AFFAN FAUZI, 19 APRIL 2021.

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menyerahkan barisan kepimpinan PKR membuat keputusan sama ada beliau perlu mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Jelasnya, kini perbincangan tentang kerusi-kerusi yang bakal ditandingi PKR pada PRU-15 masih berjalan.

“Kita kena tunggu keputusan kepimpinan parti, perbincangan masih berjalan. Kita (dalam parti)  perlu mematuhi keputusan parti dan perbincangan sedang dijalankan.

“Berbalik kepada perkara melibatkan pergerakan dalam parti saya juga tahu ia bukan keputusan yang mudah.

“Kita akan tahu bila tiba masanya nanti tetapi saya juga akan berhati-hati dan mematuhi apa sahaja arahan yang akan dikeluarkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kedai Online Shopee Keadilan, di sini, hari ini.

Nurul Izzah memenangi kerusi Permatang Pauh pada PRU lalu  dengan meraih 35,534 undi daripada 84,789 undi.

Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Zaidi Mohd Said, yang memperolehi 19,866 undi dan calon Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang mendapat 14,428 undi.

Sementara itu, Nurul Izzah berkata, platform e-dagang Kedai Online Shopee Keadilan akan datang membantu mempromosikan PKR dengan lebih meluas dan dalam masa sama akan membantu Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk bergiat aktif dalam perniagaan di atas talian.

Menerusi pelancaran platform berkenaan, barangan PKR boleh dibeli daripada laman Shopee .- MalaysiaGazette