Polis Diraja Malaysia (PDRM) memindahkan seorang jurulatih sebuah pusat latihan polis untuk menjalankan tugas am pejabat selepas dia didakwa mengeluarkan kenyataan jelik terhadap pelatih wanita.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan satu kegiatan sindiket penipuan nombor ramalan selepas menahan seorang individu dalam serbuan di Pendang, Kedah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, penahanan suspek berusia 50 tahun dilakukan susulan laporan seorang mangsa lelaki berusia 59 tahun.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa diperdaya sindiket selepas melihat risalah iklan nombor ramalan boleh mengubah nasibnya di CIMB Bank Ampang Point, Ampang pada 2011.

“Mangsa berminat dan telah menghubungi nombor yang tertera di dalam iklan dan telah berurusan dengan seorang individu yang dikenali sebagai Master.

“Suspek menasihatkan mangsa untuk membeli nombor ramalan sebelum mangsa menyerahkan RM127,120 ke dalam akaun suspek bagi tujuan membeli peralatan sembahyang dan upacara ritual.

“Setelah bayaran dibuat, mangsa diminta pergi ke alamat diminta di Pengkalan Kubur Kelantan. Namun setelah sampai, mangsa mendapati alamat tersebut adalah tidak wujud dan merasakan dirinya telah tertipu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, suspek tiada rekod lampau, namun dia masih dikehendaki dan sedang disiasat dalam kes sama oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Johor.

Beliau berkata, mangsa yang berasa ditipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, 10 tahun lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

“Pihak Polis menasihati orang ramai jangan mudah percaya dengan mana-mana individu yang mengaku boleh membantu dan memberi nombor ramalan dalam usaha untuk mengubah nasib seseorang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette