Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini dalam proses mendapatkan tambahan ventilator baharu bagi memenuhi keperluan peralatan ventilator di seluruh negara termasuklah Sarawak.

Memandangkan kes Covid-19 di Sarawak telah menunjukkan tren peningkatan sejak dua minggu lepas, KKM dalam usaha membendung penularan pandemik di Sarawak telah menghantar 10 unit ventilator Unit Rawatan Rapi sedia ada jenis Draeger Evita 4 yang telah digunakan di Hospital Sungai
Buloh bagi tujuan kecemasan.

“Dalam hal ini, kesemua 10 ventilator tersebut yang telah diuji dan berada di dalam keadaan baik dan telah dihantar ke beberapa hospital di Sarawak melalui penerbangan Malaysia Airlines pada 12 April 2021,” kata KKM dalam satu kenyataan hari ini.

Hospital-hospital yang menerima bantuan tersebut adalah Hospital Sarikei (2 unit), Hospital Sibu (5 unit) dan Hospital Bintulu (3 unit).

Mengambilkira kegunaan peralatan tersebut adalah untuk kegunaan di ICU sahaja, ventilator-ventilator ini akan disambungkan ke unit saluran udara perubatan (MA4) di ICU sebelum digunakan.

Penggunaan ventilator di wad-wad biasa selain ICU adalah ventilator dari jenis turbin yang mempunyai pemampat udara dalaman.

Setelah meneliti sepenuhnya dakwaan mengenai penerimaan bantuan ventilator yang gagal berfungsi, KKM mendapati bahawa terdapat kerosakan berlaku kemungkinan berpunca dari proses pengangkutan peralatan tersebut ke fasiliti-fasiliti yang telah ditetapkan.

Perkara ini juga adalah berkemungkinan kerana sensor oksigen dan papan litar utama yang sangat sensitif terhadap getaran, suhu dan kelembapan semasa pengangkutan.

Sebagai tambahan, KKM juga telah menghantar 8 unit ventilator
berjenama Weinmenn yang baharu serta 8 unit ICU Patient Monitor ke Hospital Sarikei.

Tiga unit daripada ventilator tersebut telah diuji dan
sedang digunakan sehingga kini manakala lima unit yang lain akan diuji dan ditauliahkan dalam minggu ini.

KKM akan menghantar tambahan 11 unit ventilator berjenama Sternmed dan Weinmenn yang baharu ke Sarawak dan pengangkutan kesemuanya diuruskan dengan segera ke tempat berikut iaitu Hospital Sibu 5 Unit (jenama Sternmed), Hospital Sarikei 2 Unit (jenama Sternmed) dan Hospital Bintulu 4 unit (jenama Weinmenn). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast