Aleksander Ceferin, Presiden Uefa

LONDON – Pembentukan Liga Super Europa (ESL) merupakan perancangan yang memalukan, berkepentingan dan umpama meludah ke muka peminat bola sepak.

Itu komen sinis dari Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (Uefa), Akexander Ceferin.

Ceferin juga mendakwa para pemain yang beraksi dalam pasukan ESL akan digantung daripada kejohanan Piala Dunia dan juga Euro.

Arsenal, Chelsea, Liverpool, Manchester City dan Manchester United serta Tottenham Hotspur adalah enam kelab elit Liga Perdana Inggeris (EPL) yang bersetuju menyertai ESL.

Menteri Kebudayaan United Kingdom, Oliver Dowden mengumumkan hasil pendapat peminat bola sepak mengenai pembentukan ESL.

Dowdan berkata, penilaian peminat bola sepak telah diambil kira dalam perbincangan mengenai kewujudan ESL yang dikritik hebat kerana ia akan melenyapkan sejarah bola sepak Eropah.

Undian atas talian mendapati 79 peratus peminat sukan bola sepak menentang penyertaan enam kelab EPL menyertai ESL.

Ceferin yang menerajui Uefa sejak 2016 berkata, dia sudah menilai penyertaan 36 pasukan dalam Liga Juara-Juara Eropah yang dirancang oleh kesatuan itu dan dia akan memastikan ESL tidak terlaksana.

“Kami semua bersatu menentang projek (ESL) yang tidak masuk akal ini.

“Saya tak boleh menegaskan lebih lanjut betapa kuat komuniti Eropah bersatu menentang cadangan ESL yang bodoh ini yang hanya dipenuhi ketamakan.

“ESL bertentangan dengan semangat bola sepak yang kita amalkan selama ini dan para pemain yang beraksi dalam liga tidak masuk akal itu akan digantung daripada menyertai Piala Dunia serta Euro bersama pasukan kebangsaan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast