Two bodyguards sustained injuries after being assaulted by their employer for fasting.
Kertas siasatan ahli perniagaan mencederakan dan mengugut bunuh dua pengawal peribadinya kerana berpuasa baru-baru ini sudah hampir lengkap.

KLANG – Polis akan merujuk kertas siasatan kes dua pengawal peribadi dibelasah dan diugut bunuh oleh majikan dan pekerjanya kepada Jabatan Peguam Negara hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata,  kertas siasatan yang lengkap itu telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Selangor semalam.

“Kemudian ia telah dihantar kepada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5).

“Petang ini kertas siasatan kes ini akan dirujuk kepada Peguam Negara untuk arahan lanjut dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette

Beliau yang diminta mengulas mengenai status reman suspek utama berkata, polis menunggu keputusan petang nanti tanpa memperincikan lebih lanjut.

Reman lima hari majikan berusia 44 tahun itu akan berakhir esok.

Artikel berkaitan: Suspek utama ugut bunuh bodyguard berpuasa direman lima hari

Belasah ‘bodyguard’ sebab puasa: Aktiviti haram majikan terbongkar, 100kg emas dirampas

Belasah ‘bodyguard’: Empat suspek ditahan di Klang

Tiada layanan istimewa terhadap suspek pukul bodyguard, jangan manipulasi keadaan

Suspek utama yang merupakan seorang ahli perniagaan turut disiasat penglibatannya sebagai ah long dan judi.

Sebelum itu, dia direman tiga hari oleh Polis Daerah Dang Wangi sebelum diserahkan kepada IPD Klang Selatan untuk siasatan kes di Klang pada Sabtu lalu dan dihadapkan ke Mahkamah Klang pada Ahad serta direman lima hari sehingga esok.

Menurut beliau, empat lagi suspek yang ditahan dalam serbuan di dua lokasi berlainan di Bukit Tinggi Klang pada hari yang sama kejadian 14 April lalu telah direman lima hingga tujuh hari untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun katanya, tiga suspek tangkapan pertama telah disambung reman empat hari lagi.

“Sementara itu, suspek keempat yang ditahan dalam tangkapan kedua di lokasi berlainan di Klang pada hari yang sama  telah direman tujuh hari sebelum disambung reman dua hari lagi pada pagi ini di Mahkamah Klang,” tambahnya. – MalaysiaGazette