Suspek utama kes pukul dan ugut bunuh dua pengawal peribadi dibawa keluar selepas proses reman di Mahkamah Majistret Klang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 APRIL 2021.

KLANG – Suspek utama yang memukul dan mengugut bunuh dua pengawal peribadi kerana berpuasa dalam kejadian Selasa lalu direman selama lima hari di Mahkamah Klang pagi tadi.

Majistret Nur Atikah Zakaria yang mendengar permohonan pegawai penyiasat Inspektor Ganes membenarkan lelaki itu direman sehingga 22 April ini untuk membantu siasatan polis.

Suspek yang merupakan seorang ahli perniagaan berusia 43 tahun berbaju kemeja biru berkolar dan berseluar putih dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan sekitar 9.50 pagi tadi.

Suspek yang tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika diserbu pemberita ketika dikawal ketat tiga anggota polis ke Mahkamah Majistret Jenayah.

Artikel berkaitan:Dua ‘bodyguard’ dibelasah, diugut bunuh kerana berpuasa

Belasah ‘bodyguard’: Empat suspek ditahan di Klang

Belasah, ugut ‘bodyguard’: Suspek utama direman tiga hari

Belasah ‘bodyguard’ sebab puasa: Aktiviti haram majikan terbongkar, 100kg emas dirampas

Lelaki yang didakwa pukul dan ugut bunuh dua bodyguard dibawa keluar selepas proses reman di Mahkamah Majistret Klang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 APRIL 2021.

Suspek tersebut kemudian dibawa keluar oleh dari mahkamah sekitar jam10.50 pagi tadi untuk dibawa ke IPD Klang Selatan bagi proses siasatan di bawah Seksyen 307, 324, 506 dan 298 Kanun Keseksaan.

Semalam suspek yang tamat reman tiga hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi telah diserahkan kepada IPD Klang Selatan sekitar jam 5 petang untuk siasatan insiden kedua kes sama.

Susulan kes pukul dan ugut itu, penglibatan suspek dalam kegiatan haram ah long dan judi terbongkar selepas jongkong emas seberat 100 kilogram bernilai RM28.45 juta dirampas dari sebuah rumah milik salah seorang dari empat rakan di Batu Nilam Bukit Tinggi Klang pada Rabu lalu.

Dalam insiden awal, dua pengawal peribadi itu telah membuat laporan polis mendakwa dipukul kerana berpuasa.

Kejadian berlaku sekitar 10 malam di sebuah kondominium mewah di Jalan Pinang Kuala Lumpur sebelum kedua-dua mangsa mengikut suspek ke rumahnya ke Taman Batu Nilam, Klang.

Ketika tiba di rumah, suspek telah memukul kedua-dua pengawal peribadi itu dengan rotan sehingga darah membeku, selain mengacukan pistol dan mengugut membunuh mangsa.

Polis yang menerima laporan daripada kedua-dua mangsa telah melancarkan siasatan yang membawa kepada tangkapan suspek utama dan empat lagi lelaki yang disyaki bersubahat di dua lokasi berlainan di Klang Selatan.

Empat yang lain itu telah direman sejak Khamis lalu antaralima hingga tujuh hari untuk membantu siasatan polis. di bawah Seksyen 324, 506 dan 298 Kanun.

Aktiviti kegiatan haram suspek utama tersebut turut disiasat di bawah Akta Pengubahan Wang Haram 2001.- MalaysiaGaezette