PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan tarikh lain untuk membuat keputusan rayuan membabitkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atas kesalahan terima rasuah RM2 juta dari seorang ahli perniagaan.

Tiga panel Hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Suraya Othman memberitahu pihaknya memerlukan masa untuk meneliti semua hujahan oleh pembelaan dan pendakwaan terlebih dahulu.

“Kita akan maklumkan tarikh sebenar keputusan dengan secepat mungkin selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak,” katanya hari ini.

Dua lagi panel hakim ialah Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin.

Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta terhadapnya selepas mendapati Tengku Adnan bersalah terhadap tuduhan itu pada 21 Disember tahun lepas.

Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi bersama Tengku Adnan Tengku Mansor sedang berbincang sesuatu di Istana Kehakiman, Putrajaya .Foto HAFIZ SOHAIMI, 22 APRIL 2021

Namun hakim kemudian membenarkan permohonan Ahli Parlimen Putrajaya itu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga rayuan diputuskan.

Tengku Adnan atau lebih mesra dengan panggilan Ku Nan telah didakwa menggunakan jawatan sebagai penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan untuk menerima sebanyak RM2 juta untuk dirinya daripada seorang ahli perniagaan.

Ahli perniagaan itu ialah Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong telah menyerahkan wang itu melalui cek yang didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau Ku Nan mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Tengku Adnan yang tiba di mahkamah dengan berbaju batik kelihatan tenang dan sempat senyum, melambai serta bercakap dengan beberapa individu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut hadir untuk memberi sokongan kepada Tengku Adnan dan juga hadir untuk seketika dalam prosiding rayuan penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak. -MalaysiaGazette