Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – ”Mungkinkah Yang di-Pertuan Agong boleh terus sahaja memanggil sidang Parlimen tanpa nasihat daripada PM?

”Jika boleh begitu adalah lebih baik kerana rakyat dan negara tidak boleh dibiarkan berada dalam keadaan yang tidak menentu,” kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, arahan penutupan 19 sekolah di Selangor dan sekolah-sekolah di tempat lain menimbulkan persoalan adakah Proklamasi Darurat sejak 12 Januari lalu berkesan dalam memerangi wabak Covid-19.

Walaupun sudah empat bulan darurat dilaksanakan, namun kadar jangkitan Covid-19 kekal tinggi.

”Bukankah ini tidak padan dengan titah Yang di-Pertuan Agong semasa mengisytiharkan Proklamasi Darurat?

”Bukankah baginda bertitah supaya Proklamasi Darurat digunakan sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19?,” soal Ahmad Zahid.

Soalnya lagi, adakah ini bermaksud kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah gagal dalam melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong.

”Saya fikir keadaan ini tidak boleh dibenarkan berlarutan kerana titah Yang di-Pertuan Agong demi kesejahteraan hidup rakyat.

”Kebimbangan saya jika rakyat semakin lali dengan perkembangan buruk kes Covid-19 di Malaysia,” tambahnya.

Susulan itu, Ahmad Zahid berkata, jika kerajaan sudah ketandusan daya dan idea, maka usaha membendung Covid-19 wajar diserah semula kepada Parlimen.

Di situ input daripada semua pihak akan diperhalusi, suara serta pandangan rakyat akan didengari.

Tegasnya, kerajaan PN tidak boleh lagi memberi alasan sidang Parlimen tidak dibenarkan kerana darurat, aalhal Yang di-Pertuan Agong telah lama bertitah sidang Parlimen boleh diadakan semasa tempoh darurat.

Bagaimanapun, Perdana Menteri sehingga hari ini belum menasihati Yang di-Pertuan Agong tarikh untuk Dewan Rakyat bersidang semula. – MalaysiaGazette