Wednesday, April 24, 2024
Home Sukan Covid-19: 8 lagi pemain positif di Akademi Badminton Malaysia

Covid-19: 8 lagi pemain positif di Akademi Badminton Malaysia

Akademi Badminton Malaysia terletak di Bukit Kiara.
KUALA LUMPUR – Lapan pemain pelapis badminton kebangsaan didapati positif COVID-19 selepas ujian saringan dijalankan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Selasa lepas.
Sebelum ini, enam pemain diuji positif virus Covid-19 minggu lepas.
Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata, tindakan pantas telah diambil bagi mengekang penularan wabak berkenaan berdasarkan cadangan Kementerian Kesihatan dan Institut Sukan Negara.
“Kira-kira 91 individu terdiri daripada pemain, jurulatih dan kakitangan sokongan akan menjalani satu lagi sesi ujian saringan esok, dan kami berharap tiada lagi kes positif. Nasib baik, tidak ada pemain elit yang positif, buat masa ini.
“Namun, kami akan terus memantau gejala dan kesihatan pemain. Kami juga akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi setiap masa,” kata Kenny ketika dihubungi Bernama sambil menambah bahawa ABM telah beberapa kali disanitasi sejak seminggu lepas sebagai langkah berjaga-jaga,
Minggu lepas, BAM memaklumkan bahawa latihan berasaskan kuarantin akan diperkenalkan semula di pusat kecemerlangan badminton negara itu berikutan jangkitan virus tersebut manakala aktiviti persekolahan akan dijalankan secara dalam talian. – MalaysiaGazette