ACP Noorzainy Mohd Noor

BUTTERWORTH – Akibat terputus bekalan dadah serta marah kawan lelakinya diarah balik, seorang wanita bertindak memukul ibunya menggunakan penyapu dalam satu kejadian di sebuah pangsapuri di Sri Bagan di sini semalam.

Kejadian berlaku jam 6.30 petang ketika mangsa berusia 59 tahun itu datang ke rumah anak bongsu daripada dua beradik sebelum mendapati seorang lelaki berada di dalam kediaman terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, susulan tindakan ibunya, suspek berusia 24 tahun itu terus mengamuk dan memukul ibunya menggunakan penyapu pada bahagian lengan kanan.

Kata beliau, tidak cukup dengan itu, suspek turut mengetuk kepala ibunya menggunakan telefon bimbit sebelum mengugut akan membunuh sekiranya mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

“Mangsa kemudian mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kepala Batas kerana terasa sengal di bahagian yang dipukul anaknya. Bagaimanapun tiada kesan kecederaan mahupun lebam dikesan.

“Bimbang akan keselamatan diri dan keluarga mangsa tampil membuat laporan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Noorzainy, hasil soal siasat mangsa  mengaku suspek berubah menjadi lebih emosi selepas hilang punca pendapatan, sekali gus terputus bekalan dadah.

“Kita tidak menolak kemungkinan suspek merupakan penagih tegar dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan,” kata Noorzainy. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.