KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam dagangan kecil pada minggu dagangan yang singkat minggu depan.
Pasaran saham akan ditutup pada Khamis minggu depan sempena cuti umum Nuzul Quran.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim menjangka ramai peniaga akan memilih untuk bercuti panjang pada hujung minggu dan kembali ke pasaran pada Isnin.
“Kita mungkin melihat penurunan aktiviti dagangan kerana ramai pelabur kemungkinan akan mengambil cuti pada Jumaat untuk menyambung cuti panjang pada hujung minggu,” katanya kepada Bernama.
Di peringkat global, para pelabur akan menumpukan kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) minggu depan.
Adam menjangka Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) akan mengekalkan dasar monetari tidak berubah pada mesyuarat akan datang.
“Justeru, para pelabur menjangka Fed akan lebih cenderung untuk menaikkan kadar kemudian nanti pada tahun ini berdasarkan kepada data ekonomi AS yang positif ketika ini,” katanya sambil menambah perkembangan pandemik COVID-19 juga akan dipantau rapat.
Selain itu, mesyuarat dasar monetari Bank of Japan dijadual berlangsung pada 26-27 April.
Di tengah-tengah peningkatan kes COVID-19 di Jepun, Perdana Menteri Yoshihide Suga dijangka mengumumkan darurat bersasar bagi Tokyo, Osaka, dan dua lagi wilayah lain.
Di dalam negara, jangkitan baharu COVID-19 di Malaysia kekal di atas paras 2,800 bagi dua hari berturut-turut pada Jumaat apabila 2,847 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam menjadikan keseluruhan kes sebanyak 387,535.
Bagi minggu yang baru berakhir ini, bursa tempatan ditutup kebanyakannya tinggi dengan permintaan berterusan terhadap kaunter sarung tangan, minyak dan gas dan telekomunikasi.
Pasaran dibuka lemah pada Isnin berikutan aktiviti pengambilan untung dan momentum kembali pulih pada Selasa berikutan belian saham berharga rendah ketika para pelabur mencerna langkah Bank Indonesia untuk mengurangkan unjuran keluaran dalam negara kasar 2020 dan lonjakan tinggi kes kematian harian akibat COVID-19 di India.
Bursa, bagaimanapun, susut pada hari berikutnya berikutan kebimbangan terhadap kesan ekonomi akibat COVID-19 dan ketidakpastian berhubung permintaan minyak.
Pada Khamis dan hari seterusnya, bursa tempatan meningkat semula disokong oleh minat berterusan terhadap kaunter sarung tangan.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI meningkat 0.05 mata kepada 1,608.43 daripada 1,608.38 pada Jumaat minggu sebelumnya.
Di papan indeks, FBM Emas turun 10.32 mata kepada 11,840.46, FBMT 100 susut 11.51 mata kepada 11,492.06 dan FBM 70 jatuh 61.28 mata kepada 15,607.90.
FBM ACE meningkat 88.70 mata kepada 8,686.05 dan FBM Emas Shariah menokok 32.35 mata kepada 13,307.69.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan berkurangan 37.36 mata kepada 6,842.06, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 100.93 mata kepada 14,974.23 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 0.69 mata kepada 196.14.
Indeks Penjagaan Kesihatan melonjak 109.70 mata kepada 3,280.82, Indeks Tenaga susut 22.06 mata kepada 900.61 dan Indeks Teknologi tidak berubah pada 87.52
Jumlah dagangan meningkat kepada 38.76 bilion unit bernilai RM21.75 bilion daripada 31.31 bilion unit bernilai RM18.53 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 22.80 bilion saham bernilai RM16.47 bilion daripada 18.76 bilion saham bernilai RM14.47 bilion.
Jumlah dagangan waran naik sedikit kepada 2.03 bilion unit bernilai RM237.14 juta daripada 2.0 bilion unit bernilai RM272.89 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE berkembang kepada 14.83 bilion saham bernilai RM5.05 bilion daripada 10.54 bilion saham bernilai RM3.79 bilion pada minggu sebelumnya. – MalaysiaGazette