Zahidi Zainul Abidin ketika melancarkan balai Internet di Perkampungan Orang Asli Kampung Jeram Kedah di Ulu Beranang..

KUALA LUMPUR – Program Jelajah Pembudayaan Literasi ICT dan Khidmat Komuniti Masyarakat Orang Asli Dalam Norma Baru anjuran Institut Strategi Antarabangsa (ISI) baru-baru ini mendapat sambutan luar biasa.

Malah, program itu dianggap satu peristiwa bersejarah bagi 789 penduduk Perkampungan Orang Asli Kampung Jeram Kedah di Ulu Beranang.

Menurut ISI, program pembudayaan ICT yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin itu merupakan acara julung kali namun telah memberikan impak positif.

“Memang satu sejarah kerana teknologi Internet diberikan di perkampungan Orang Asli Kampung Jeram Kedah yang terdiri daripada tiga buah kampung iaitu Kg Jeram, Kg Lumut dan Kg Machang hasil inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)

“Sebuah balai Internet juga akan disediakan supaya penduduk kampung merasai sendiri kehebatan Internet serta teknologi, paling penting anak-anak dapat meneruskan pembelajaran secara online dengan kemudahan ini,” kata kenyataan itu.

Ketika berucap dalam program tersebut, Zahidi berkata, segala inisiatif yang dilaksanakan oleh SKMM bukan sekadar pelengkap kepada pembangunan suatu masyarakat namun perlu dilihat sebagai satu peluang untuk mengubah cara hidup komuniti di perkampungan Orang Asli untuk terus maju dalam era globalisasi yang pesat.

Menurut Ahli Parlimen Padang Besar itu lagi, kewujudan Balai Internet di Kampung Jeram Kedah itu juga akan membantu menjana sosio ekonomi komuniti setempat dan mewujudkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing.

“Hari ini, kita banyak mendengar kisah kejayaan pengguna Internet dalam bidang keusahawanan. Usaha ini dengan harapan dapat membantu menambahkan pendapatan keluarga yang sedia ada, juga meningkatkan ilmu pengetahuan penduduk pada tahap global,” ujarnya. -MalaysiaGazette