Team Selangor melakukan kerja-kerja mengisi bubur lambuk ke dalam bekas pada Program Pelancaran Kawah Ramadan Team Selangor di Dewan Dato Ahmad Razali, Ampang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 30,000 pek bubur lambuk disasar untuk diedarkan di setiap daerah di Selangor menerusi program Kawah Ramadan (Karad).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan dan Generasi Muda dan Sukan, Mohd Kahiruddin Othman berkata, pemberian bubur lambuk itu merupakan program tahunan Team Selangor dalam menyantuni penduduk di setiap kawasan tertentu.

“Program ini melibatkan para belia dan mensasarkan 30,000 pek bubuk lambuk yang dimasak dan diedar kepada komuniti.

“Program bermula jam 8 pagi dan tamat pada 4 petang dengan penyediaan 2,500 pek bubur lambuk untuk edaran pada hari ini,” katanya ketika pelancaran Karad di sini, hari ini.

Mohd Kahiruddin berkata, bubur lambuk yang dipek itu diedarkan kepada semua tidak kira agama mahupun bangsa.

Ujarnya, program seumpama itu diharap dapat kekal dan diteruskan pada masa-masa akan datang. – MalaysiaGazette