Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya bercakap pada sidang media mengenai isu pekerja seks di Pejabat Pertubuhan MUAFAKAT, Selangor. Foto SHAFIY ZUL, 01 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Belum pun reda isu kalimah Allah 2.0 dan pengawal peribadi dipukul kerana berpuasa, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof tiba-tiba muncul mempertahankan gerakan Kristian dan menempelak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya mempersoalkan tindakan bekas menteri agama itu yang mempertikaikan tindakan MAIS itu sedangkan ia sudah lama didedahkan.

“Saya tidak tahu mengapakah buku terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang bertajuk Pendedahan Agenda Kristian ini tiba-tiba dipertikaikan padahal ianya sudah hampir 10 tahun diterbitkan. Mengapa bising sekarang?

“Katanya, kalau ada agenda Kristianisasi, maka umat Islam perlu mengambil tindakan undang-undang. Sejak dahulu lagi, banyak kali laporan polis dibuat oleh kami.

“Setiap kali polis atau pihak berkuasa mengambil tindakan, mulalah dimain isu Hak Asasi Manusia oleh pejuang Hak Asasi, dan dilengkapi lagi dengan slogan Rahmatan Lil Alamin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, FreeMalaysiaToday melaporkan Mujahid berkata, segala tuduhan yang dibuat terhadap masyarakat Kristian mesti dibuktikan malah ia bertentangan dengan undang-undang Islam.

Mujahid mendakwa, seluruh masyarakat Kristian boleh dianggap jahat jika dakwaan tersebut tidak dibuktikan.

Terdahulu Mujahid mengulas sebuah buku yang mendedahkan agenda Kristian yang diterbitkan oleh MAIS pada tahun 2014.

Buku digital itu mengupas mengenai gerakan evangelisme dan usaha mengkristiankan orang Islam, khususnya di Selangor.

Dalam pada itu, Aminuddin mempersoalkan Mujahid yang tidak mengambil tindakan semasa masih berkuasa dan menjawat menteri agama jika semua yang terkandung dalam buku itu adalah fitnah.

“Sehingga kini juga, tiada mana-mana gereja atau komuniti Kristian yang membawa perkara ini ke mahkamah, atau menyaman MAIS.

“Mungkin Mujahid boleh jadi hero mereka dengan menyaman MAIS, sesuailah dengan gelaran beliau Menteri Semua Agama satu ketika dahulu,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya Mujahid dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) mahu mengambil tindakan di mahkamah, Pembela juga katanya sedia menghantar peguam dan sedia menggerakkan rakyat.

“Kalaulah jadi Mujahid (atau rakan-rakannya) menyaman MAIS, kami NGO-NGO Islam sedia menghantar peguam kami dan bersedia memobilisasikan gerakan rakyat. Kerana kita yakin, kita di pihak yang benar.

“Sebelum buku ini diharamkan atau diarah untuk dipadamkan dari laman web MAIS, eloklah kita ramai-ramai muat turun dan sebarkan seluas-luasnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Bagi laaa bukti..kalau betul Kristian disebarkan dlm kalangan org Islam, maka ni satu kesalahan undang2..ambil tindkan undang2…Mujahid cuma minta bukti ..yg ko duk menyalak tak tentu pasal dah kenapa? kes Sajad pun korang bolos, lg banyak songel

Comments are closed.