UMNO

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Arau menyambut baik keputusan pucuk pimpinan parti yang melantik Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perlis.

Ketuanya, Syed Atif Abu Bakar berkata, pelantikan itu diharap dapat membuka lembaran baru dalam lapangan politik negeri berkenaan, khususnya di peringkat Badan Perhubungan UMNO Negeri.

“Semoga dengan pelantikan ini akan dapat memantapkan penyelarasan gerak kerja politik dan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional di negeri ini yang sekian lama berada di dalam dilema disebabkan permasalahan berkaitan adanya dua nakhoda yang mengemudi sebuah kapal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Syed Atif berkata, pihaknya menyanjung tinggi komitmen dan kesungguhan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dalam membawa pembaharuan yang positif untuk mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, dalam suasana politik dan ekonomi negara yang semakin goyah disebabkan keangkuhan, penting diri dan ketidakpedulian kerajaan yang ada pada hari ini, ketegasan pucuk pimpinan dalam percaturan mengelakkan risiko kebocoran maklumat dan strategi parti amatlah bertepatan dan kena pada masanya.

“Di kesempatan ini juga ingin kami rakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Shahidan Kassim yang telah menabur khidmat bakti memimpin UMNO Perlis dalam tempoh yang begitu lama, selama lebih 20 tahun.

“Semoga beliau dapat terus memberikan sokongan dan kerjasama yang membina dan tidak berbelah-bahagi untuk membantu memperkukuhkan parti dan menghormati keputusan-keputusan rasmi parti.

“Penghargaan dan kenang budi ini bukanlah jalan sehala kerana teramat banyak juga jasa bakti parti UMNO ini (serta ahli-ahlinya) yang seharusnya dihargai dan dikenang dengan sebaik-baiknya. Resmi berjuang dan berorganisasi, ada masanya kita disokong dan ada masanya kita perlu menyokong,” ujarnya.

Tambahnya, beliau berharap agar seluruh ahli-ahli dan penyokong UMNO di Perlis terus istiqomah dalam perjuangan serta bersiap-sedia untuk mengharungi lembaran baru perjuangan ini.

Katanya, UMNO Perlis tidak ketandusan pemimpin dan setiap pemimpin tentunya mempunyai corak kepimpinan yang tersendiri.

“Justeru, sebagai sebuah parti besar yang dominan, UMNO Perlis tidak boleh bersikap statik dan selama-lamanya hanya bergantung kepada seorang individu untuk memimpin; seolah-olah orang lain semuanya tak layak,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast