Ir. Husaini Husin

KUALA LUMPUR – Pemaju-pemaju projek dinasihati untuk tidak melakukan kerja-kerja terlalu hampir dengan kawasan izinlalu rentis talian penghantaran voltan tingginya bagi mengelakkan kejadian percikan arka yang boleh menggugat kestabilan sistem Grid Nasional.

Kerja-kerja di dalam kawasan rentis TNB pula amat dilarang kerana risiko percikan arka dan renjatan elektrik serta gangguan bekalan kepada sistem Grid Nasional adalah lebih tinggi.

Kawasan rentis menara talian penghantaran adalah dalam jarak 20 meter ke 30 meter di sebelah kiri dan kanan menara talian.

Ketua Pegawai Grid TNB Datuk Ir. Husaini Husin berkata, tiada kerja-kerja boleh dilakukan dalam kawasan izinlalu tanpa kebenaran TNB.

”Janganlah menceroboh kawasan rentis TNB. Dapatkan atau maklumkan kami jika perlu menjalankan kerja di dalam kawasan rentis,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pihak yang telah menerima kebenaran TNB untuk bekerja di dalam kawasan rentis TNB pula perlu berhati-hati bagi mengelakkan percikan arka dan sistem bekalan elektrik terpelantik, sekali gus ketiadaan bekalan pada kawasan yang luas.

“Ribuan pengguna akan terkesan. Percikan arka yang berlaku bukan sahaja boleh menyebabkan kehilangan harta, malah nyawa pelaku,” ujar beliau.

Katanya, TNB mengesan tiga kejadian percikan arka menara penghantaran TNB, di Seberang Perai, Pulau Pinang; Kelang, Selangor dan Subang Jaya, Selangor yang berlaku baru-baru ini yang telah menyebabkan sistem bekalan elektrik
terpelantik.

Pada kejadian yang berlaku tersebut, operator kren yang terlibat telah mengalami renjatan elektrik yang mengakibatkan kecederaan serius dengan kelecuran tahap satu.

Tambahnya, TNB juga kesal kerana pihak pemaju projek yang sama telah gagal mematuhi nasihat TNB walaupun notis dan amaran telah dikeluarkan kepada pihak pemaju berkenaan.

“Jika pemaju terus-menerus tidak mengendahkan notis dan amaran dari TNB dikhuatiri gangguan bekalan mungkin akan berlaku lagi, sekali gus boleh menjejaskan ramai pengguna di kawasan yang terlibat.

Menurut perundangan, apa-apa perbuatan yang menyebabkan kecederaan atau kerosakan kepada mana-mana pepasangan adalah suatu kesalahan dan boleh dikenakan apabila disabitkan, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.- MalaysiaGazette