Menara Kuantan 188

KUANTAN – Baru beroperasi dua bulan, Menara Kuantan 188 kini telah mencatatkan kira-kira 63,000 pengunjung yang datang bagi menikmati keindahan panorama dari puncak menara kedua tertinggi negara itu.

Penolong Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Nur Sabrina Mohammad Halid berkata, lokasi baharu tumpuan pelancongan itu tidak putus-putus menerima kunjungan pelawat biar pun pada musim Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Menara Kuantan 188 ini merupakan sebahagian daripada projek Kuantan Waterfront yang terletak di dalam perkarangan Laman Teruntum di mana ia membolehkan pelawat menikmati pemandangan keseluruhan bandar Kuantan dari aras 92.0 meter hingga 104.0 meter serta pemandangan panorama Sungai Kuantan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pembinaannya bermula pada Ogos 2017, siap dibina pada 3 September 2020 manakala Sijil Penyiapan dan Pematuhan dikeluarkan pada November 2020. Ianya menara ikonik yang tertinggi di Pantai Timur dan kedua tertinggi di Malaysia.

Sebahagian panorama indah  Sungai Kuantan yang dapat dinikmati pengunjung dari Menara Kuantan 188.“Pada waktu malam pula menara bercahaya dilimpahi lampu berwarna-warni menarik perhatian dan berhampiran Kuantan Art Street sekali gus menghidupkan suasana sekitar Kuantan Waterfront,” kata Sabrina.

Menara Kuantan 188 dibuka setiap hari kepada pengunjung, dengan harga tiket bermula RM5 hingga RM15 bagi warga tempatan.

Menurutnya, konsep reka bentuk yang tegak berketinggian 180 meter dan profilnya yang tirus merujuk kepada struktur senjata melayu lama, iaitu lembing dan hujung bilah lembing, seperti yang terdapat pada Jata Negeri Pahang Darul Makmur.

Berspesifikasi unik, reka bentuk Anjung Tinjau Menara melambangkan kepelbagaian rakyat Kuantan dan penduduk Pahang secara amnya serta menempatkan restoran di antara struktur anjung menara.

ARTIKEL BERKATAN

Menara 188 lokasi cadangan tapak cerapan baharu

‘This Is Pahang’ tema baharu pelancongan Tok Gajah

Manakala lima tiang keluli yang disusun menjulang dan bersatu melambangkan lima teras Rukun Negara juga menzahirkan perpaduan serta lima tiang besi melambangkan lima Rukun Islam.

Pelan Struktur Menara Kuantan 188

Selain itu, puncak menara berwarna keemasan menunjukkan kedaulatan Kesultanan Pahang yang menggabungkan rakyat dan agama bersatu serta setia di bawah naungan pemerintah.

Anjung menara pula yang dibina dengan inspirasi daun dan bunga pokok Teruntum, dahulunya sinonim kewujudannya di pinggir Sungai Kuantan dan pengunjung mendaki ke puncak menggunakan lif kaca sambil melihat pemandangan bandar raya Kuantan.

Menara Kuantan 188 dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur dengan kerjasama kerajaan negeri. – MalaysiaGazette