KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mengesa agar kepimpinan UMNO untuk berhenti membincangkan mengenai politik.

Menurut beliau, kepimpinan sepatutnya lebih memfokuskan kepada kerja-kerja membantu rakyat yang terkesan dengan penularan Covid-19.

“Kita tidak perlu bincang lagi, PAU2020 sudah selesai, kita berhenti setakat ini dan kita tumpu pada kerja membantu rakyat.

“Rakyat sudah jemu banyak sangat cakap-cakap politik,” katanya ketika menyalurkan sumbangan pakaian dan duit raya kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dan anak yatim sempena majlis Fitrah Kasih di Jakel Mall, hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan itu mengulas mengenai pertanyaan media berhubung kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa keputusan yang dicapai dalam PRU2020 yang menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan keputusan peribadi.

Ahmad Zahid berkata, ketetapan yang telah dicapai pada perhimpunan itu tidak boleh ditukar dengan semudahnya kerana ia dilakukan hasil daripada undian kesemua perwakilan UMNO.

Sabtu lalu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu meminta Pas supaya bersikap lebih memahami berkenaan dengan keputusan yang telah diambil oleh partinya berhubung kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). – MalaysiaGazette