Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan dron untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan dan Aidilfitri di sekitar Lembah Klang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dron PDRM berkenaan digunakan untuk memantau SOP dari udara kerana PDRM mengalami kesukaran untuk memantau SOP di kesemua bazar.

“Seperti diketahui agak sukar untuk memantau kehadiran pengunjung ke dalam sesebuah bazar yang pada malam kebiasaannya boleh mencecah 2,000 hingga 3,000 pengunjung.

“Jumlah itu bagaimanapun boleh mencecah lebih lagi dan polis yang mengoperasikan dron ini akan memastikan pengunjung yang hadir ke bazar-bazar berkenaan mematuhi SOP,” katanya kepada Bernama semasa melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, awal pagi tadi.

Acryl Sani berkata, penggunaan dron dalam masa sama mampu memberikan gambaran jelas sama ada penjarakan fizikal di sesetengah bazar dipatuhi atau sebaliknya.

Sementara itu, Ketua Unit Dron Pasukan Gerakan Udara PDRM, Supt Rasha Azaldin Shafii berkata pihaknya telah menggunakan dron untuk memantau pematuhan SOP di bazar-bazar sejak Khamis lepas.

Beliau berkata, beberapa pasukan unit dron akan dibahagikan untuk memantau beberapa bazar yang dikenal pasti di sekitar Lembah Klang.

“Kebiasaannya, kami akan memulakan penugasan unit dron di bazar selama 30 minit untuk memantau SOP. Pasukan saya akan mula menerbangkan dron pada waktu petang.

“Kami memantau SOP di bazar berdasarkan arahan Ketua Polis Daerah sekiranya perlu dan bukanlah setiap masa kami memantau,” katanya.

Rasha berkata segala video dan gambar akan dirakamkan dan boleh dilihat di pusat operasi unit dron yang ditetapkan.

“Dari pusat operasi dron ini, apabila dron diterbangkan ia boleh melihat segala pergerakan pengunjung di bazar dan jika nampak mereka tidak mematuhi SOP dron polis akan menegur mereka melalui pembesar suara dron,” katanya.

Turut hadir adalah Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast