Bomba menyelamatkan mangsa yang tersepit di dalam sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Loke Yew pagi ini. Gambar: Ihsan Bomba KL

KUALA LUMPUR – Seramai lima individu cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan dalam kejadian di Jalan Loke Yew menghala ibu negara pagi tadi.

Pusat Gerakan Bomba Kuala Lumpur (PGOKL) dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pukul 6.40 pagi dan menghantar anggota dari Balai Pudu, Hang Tuah dan Bandar Tun Razak.

Menurutnya, tiga buah jentera digunakan dalam operasi menyelamat yang turut disertai 22 anggotai.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian didapati berlaku kemalangan jalanraya melibatkan lima buah kenderaan iaitu sebuah lori satu tan, van, Toyota Hilux, Lexus dan Perodua Myvi.

“Kemalangan tersebut turut melibatkan lima orang mangsa lelaki dewasa,” demikian menurit kenyataan itu.

Katanya lagi, tiga daripada mangsa terbabit berada dalam keadaan stabil manakala seorang mangsa mengalami kecederaan patah kaki dan seorang lagi didapati tersepit ketika pihak bomba tiba.

Salah seorang mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Loke Yew pagi tadi dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan

Ujarnya, mangsa yang tersepit adalah dari lori satu tan yang mana kenderaan tersebut telah terbabas serta melanggar pembahagi jalan.

Mangsa berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba pada jam7.18 pagi.

Kesemua mangsa yang cedera telah diberi rawatan awal oleh Unit EMRS bomba dan dihantar ke hospital dua buah hospital iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL ) dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras untuk rawatan lanjut. – MalaysiaGazette