KUALA LUMPUR – Hampir RM200,000 duit raya layak dimenangi oleh 500 pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dan SSPN-i Plus menerusi Kempen Jom Beraya Jom Menyimpan SSPN 2021.

Kempen yang diadakan setiap kali musim perayaan ini, terbuka kepada semua pendeposit kedua-dua skim di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkenaan menerusi dua kategori iaitu Peringkat Negeri dan Peringkat Nasional.

Bagi pendeposit Peringkat Nasional, pemenang tempat pertama akan menerima RM8,000, RM6,000 (tempat kedua), RM4,000 bagi pemenang tempat ketiga dan RM200 saguhati untuk 147 pendeposit.

Manakala kategori Peringkat Negeri, pemenang tempat pertama akan memenangi RM5,000, manakala RM3,000 bagi pemenang kedua, RM500 (pemenang ketiga) dan tidak dilupai 22 pemenang saguhati bakal menerima RM100.

Kesemua wang tunai di bawah kategori Peringkat Nasional boleh dimenangi oleh para pendeposit yang membuat simpanan bersih atau membuka akaun baharu bernilai RM300 untuk menerima satu cabutan tawaran hadiah.

Bagi kategori Peringkat Negeri pula, pendeposit perlu membuat simpanan bersih atau membuka akaun baharu sebanyak RM100 terlebih dahulu untuk mendapatkan satu cabutan hadiah.

Kempen ini akan berlangsung selama sebulan bermula 1 hingga 31 Mei 2021.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Kempen Jom Beraya Jom Menyimpan SSPN 2021 ini mencerminkan keprihatinan PTPTN kepada rakyat Malaysia supaya mengutamakan simpanan dalam musim perayaan.

“Walaupun raya diraikan dalam keadaan norma baharu, kempen ini pastinya akan memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri kali ini dengan hadiah lumayan yang disediakan,” katanya ketika menyampaikan amanat pelancaran yang disiarkan menerusi Facebook Live PTPTN hari ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif perbadanan tersebut Ahmad Dasuki Abdul Majid (gambar kecil) menyeru  ibu bapa merebut peluang memenangi duit raya dengan menyertai Kempen Jom Beraya Jom Menyimpan SSPN 2021 ini.

Jelas beliau, ini kerana selain mendapat manfaat menabung, para pendeposit layak memenangi wang tunai ribuan ringgit.

“Dalam era globalisasi dan keadaan ekonomi dunia pada masa ini tidak dapat disangkal lagi keperluan mesyarakat untuk mula memikirkan tentang penabungan. Penabungan bukan lagi satu pilihan tapi keperluan yang perlu kita utamakan demi masa depan keluarga dan anak-anak,” katanya ketika menyampaikan amanat pelancaran kempen berkenaan.-MalaysiaGazette