Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha

KUALA LUMPUR – Penganjur majlis tahnik anak seorang selebriti terkenal tanah air akan dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamed Farouk Esha berkata, polis telah mengenal pasti penganjur majlis berkenaan dan akan dipanggil dalam masa terdekat.

Menurutnya, semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah mengesan artikel yang disiarkan secara atas talian berkaitan rasa tidak puas hati netizen terhadap majlis tahnik anak seorang artis yang diadakan di Bukit Antarabangsa, di sini.

“Terdapat juga beberapa gambar di dalam artikel tersebut menunjukkan kehadiran beberapa orang kenamaan dan penceramah agama terkenal di majlis itu.

“Artikel tersebut juga menyatakan bahawa orang kenamaan dan penceramah jemputan yang hadir tidak mendapat kelulusan dari polis untuk merentas negeri selain majlis tersebut dikatakan tidak mematuhi SOP ditetapkan.

“Susulan itu, IPD Ampang Jaya telah menerima satu laporan polis berkaitan isu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Dalam pada itu, Mohamed Farouk turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa sensitif dan mengutamakan SOP dalam menjalankan sebarang aktiviti.

“Kita juga pinta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana kes masih lagi dalam peringkat siasatan,” ujarnya. – Malaysia Gazette