Lan Pet-Pet - Pix FB

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan telah menerima laporan daripada pelawak, Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad berkaitan sebuah video pergaduhan yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya mengesan satu video pergaduhan membabitkan seorang artis yang dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Menurutnya, kejadian itu berlaku pada Sabtu lalu sekitar pukul 6.30 petang di hadapan Kedutaan Rusia.

“Dalam video berdurasi lebih kurang 23 saat itu kelihatan artis tersebut sedang berselisih faham dengan seorang penunggang syarikat penghantaran makanan yang dikatakan tercetus akibat salah faham di jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ashari berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan dari penunggang motosikal terbabit.

Tambahnya, individu yang terlibat diminta untuk tampil membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan.

Menurut Ashari, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes boleh menyalurkannya ke hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju (03-92899222) atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, pelawak popular, Lan Pet Pet kembali mencuri perhatian apabila videonya memukul seorang lelaki dipercayai penghantar makanan tular di media sosial sejak malam tadi.

Menerusi video yang dirakam pengguna jalan raya ini, pelawak dan pelakon kumpulan Senario itu dilihat merangkul leher lelaki terbabit dan memukul kepalanya.

Pada masa sama, tiga orang lelaki cuba menenangkan Lan daripada terus memukul lelaki itu dalam kejadian yang berlaku di tepi jalan raya itu. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.